Sarawak akhiri badi Stadium Negeri, menang 2-0 terhadap Pulau Pinang

KUCHING: Sarawak menamatkan badi Stadium Negeri dengan bergaya, menerusi jaringan Awang Kamaruddin Awang Bohan, 5 minit selepas dimasukkan, yang pasti akan diingati.

Ini kerana gol itu dijaringkan dari jarak lebih 30 meter, ketika penjaga gol Pulau Pinang, Amirul Asyraf Mohd Suhaidi berada tidak berada di posisi yang tepat.

Dengan misi yang tidak ada pilihan kecuali menang tiga mata, anak-anak buah Pengiran Bala berjuang habis-habisan sejak minit pertama, sedang Pulau Pinang yang dikendalikan Zainal Abidin Hassan bermain secara disiplin taktikal.

Pasukan pelawat malah berpeluang mendahului pada minit ke-10 menerusi Brandon Marquee Mcdonald, namun tandukannya sempat disambar pertahanan Rames Lai Ban Huat tatkala Mohd Shahril Sa’ari sudah tertewas.

Bekas pemain import Sarawak, Mark Andrew Hartmann juga hampir menjadi duri dalam daging pada minit ke-19 menerusi tendangan percuma, namun tindakan pantas Shahril berjaya menepis bola keluar.

Skuad Ngap Sayot turut memperoleh peluang yang baik pada minit ke-23, namun kegopohan Abdul Rahim Abdul Razak menafikan harapan lebih 2,000 penyokong Sarawak.

Memasuki babak kedua, rentak permainan kedua-dua pasukan mula berubah.

Pengiran Bala malah memperguna sepenuhnya kepantasan Nur Shamie Iszuan dan Abdul Rahim untuk mengucar-kacirkan kubu lawan.

Akhirnya pada minit ke-50, Shamie yang tidak dikawal melakukan tandukan sempurna untuk gol pertama Sarawak.

Jaringan tersebut terus merentap semangat Pulau Pinang, dan aksi seterusnya menerbitkan babak terjahan keras.

Kesannya, pada minit ke-61, Mohd Azrul Ahmad dilayangkan kad merah oleh pengadil, Wan Mohamad Tarmizi apabila terlibat dalam pertembungan dengan Shamie.

Pada minit ke-67, Awang Kamaruddin masuk menggantikan kapten, Mohd Shahrul Saperi yang cedera, sekali gus memberi suntikan kepada pasukan Sarawak untuk beraksi lebih pantas.

Dengan kelebihan satu pemain, Sarawak terus mengekalkan momentum untuk mencipta kemenangan pertama di tempat sendiri, selepas 19 perlawanan.

Kemenangan ini membolehkan Sarawak sekali lagi keluar dari zon penyingkiran dengan 17 mata. Malacca United yang menang besar 5-1 terhadap T-Team terus berada di atas Sarawak.

Manakala kedudukan ke-11 yang dihuni skuad Ngap Sayot sebelum ini menjadi milik Kelantan yang terikat 1-1 dengan Felda United.

Pemain Sarawak: Demerson Bruno Costa, Nur Shamie Iszuan Amin, Mateo Roskam, Rames Lai Ban Huat (Mazwandi Zekeria -m 55), Mohd Shahrol Saperi (Awang Kamaruddin Awang Bohan – m 67),
Mohd Shahril Sa’ari, Mohamad Alif Hassan (Mohamad Sahil Suhaimi – m 88)
Abdul Rahim Abdul Razak , Jimmy Raymond,  Rodney Celvin Akwensivie dan Milos Raickovic.

Pemain Pulau Pinang: Mafry Balang, Brandon Marquee Mcdonald, Mark Andrew Hartmann, Nigel Dabinyaba, Mohd Azrul Ahmad, Kumaahran Sathasivam,  Mohamed Syamer Kutty Abba (Azidan Sarudin – m 64), Sanna Nyassi, Muhammad Zulkhari Zulkeply, Amirul Asyraf Mohd Suhaidi, Reuban Thayaparan Kathiripillai (Mohd Faiz Subri – m82). – Sarawakvoice