ALOR SETAR: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mencadangkan agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti kali ini.

Menteri Besar Kedah turut mencadangkan agar Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang ketika ini menggalas tugas timbalan presiden, diangkat terus memegang jawatan itu berdasarkan keserasian antara Ahmad Zahid dan Presiden parti Datuk Seri Najib Razak.

“Ini bagi memastikan anggota Umno pada semua peringkat dapat menumpukan tugas lebih berkesan dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” katanya disambut tepukan gemuruh hadirin ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Alor Setar yang dirasmikan Ahmad Zahid, di sini semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Bashah mengajak parti-parti komponen di negeri itu bekerja dalam 1 pasukan agar kemenangan memihak kepada Barisan Nasional (BN) dan seterusnya dapat mengekalkan pemerintahan BN di Kedah.

“Cabaran amat besar untuk PRU14 ini dan sebab itu kita kena tumpu untuk ‘berperang’ dengan pembangkang sebab cita-cita mereka nak rampas Kedah tinggi.

“Kita kena sedia walaupun wisel tak tau bila nak tiup, kita kena sedia bersama parti komponen untuk turun ke bawah menjelaskan situasi politik sebenar dengan penuh keikhlasan,” katanya.