Isu Gender dan Politik

Dr Awang Azman Awang Pawi

Wanita dan politik tidak dapat dipisahkan. Kebanyakan kempen dari rumah  ke rumah dan tak lengkap tanpa penglibatan  wanita.  Malah politik di peringkat akar umbi bersama-sama denyut nadi rakyat ialah kebanyakannya wanita.

Peranan wanita dalam politik lebih ramai di peringkat cawangan, mulai kurang di peringkat  bahagian dan  semakin kurang di peringkat pusat. Kepentingan wanita dalam politik umpama tulang belakang dalam setiap pemilihan parti politik dan pilihan raya.  Namun sejauh manakah wanita diiktiraf?

Asas Perjuangan

Idea perjuangan politik wanita asalnya  lebih untuk meningkatkan penyertaan bagi mencapai keseimbangan gender.  

Namun peringkat seterusnya ialah penyertaan secara berkualiti dan boleh mengubah pemikiran masyarakat.

Seterusnya perjuangan politik wanita ialah untuk  memperluaskan  suara. Maksudnya, kerjasama dalam keterbatasan  penglibatan dalam dunia lelaki selain  suasana emosi ketika berurusan dengan golongan patriaki, dan melakukan penyesuaian atau melakukan intergrasi semula secara lebih dinamik bagi membangunkan  trait bersifat kemanusian sesama individu.

Penghapusan  struktur yang dibina oleh sistem  patriaki  termasuklah  undang-undang atau  norma-norma kebudayaan  tradisi yang membataskan pergerakan wanita termasuklah dari segi peluang dan  penglibatan turut dijadikan asas perjuangan wanita.

Selain itu, kebanyakan  perjuangan  wanita asas ialah  gerakan kesedaran bagi menangani keganasan rumah tangga dan  isu  eksploitasi wanita. Di negara-negara membangun isu-isu seumpama ini dianggap remeh, kurang diberikan perhatian dan tindakan. Malah dalam beberapa kes kebanyakan wanita kurang kesedaran dan mengetahui hak-hak mereka dalam perundangan negara. Kekurangan kesedaran inilah yang merugikan masa depan golongan wanita.  

Bukan Isu Gender

Isu gender bukanlah isu yang dikaitkan dengan wanita sahaja. Dalam penglibatan  wanita  dalam politik banyak isu lain yang boleh diketengahkan oleh ahli politik wanita.

Seringkali apabila memperkatakan peranan wanita, ia sering dikaitkan dengan  isu kebajikan dan gender.  Hal ini berlaku kerana masyarakat di negara membangun baru  kebanyakannya masih lagi berlegar dengan persoalan asas yang belum lagi berkembang akan wacana perbahasan yang lebih luas.

Pemikiran Masyarakat Maju

Dalam kalangan masyarakat maju faktor gender tidak mengehadkan mereka untuk membangkitkan isu-isu kepentingan gender semata-mata. Sebaliknya, isu yang dibincangkan ialah isu kepentingan masyarakat dan negara.

Misalnya mengenai strategi  pembangunan negara mapan,  peranan  belia dalam pembangunan negara, isu ekonomi merakyat, isu keadilan antarabangsa dan negara dan sebagainya,

Namun penglibatan  wanita tetap diperlukan  bagi memastikan  terdapat keseimbangan  di antara gender yang sesuai dengan nisbah sesebuah negara. Yang penting ialah penekanan  terhadap suasana persekitaran sihat yang seimbang daripada gender.

Hal ini perlu bagi mengelak situasi dominasi  dalam sistem patriaki. Apabila sistem patriaki terlalu berkuasa maka suara-suara  kepentingan wanita akan  menjadi tenggelam dan gagal dan kepentingan   

Di situlah pentingnya mengetengah calon-calon wanita berpotensi dan berkelayakan  untuk berdiri di barisan hadapan  bukan  sahaja isu gender tetapi isu nasional dan sejagat.

Lantaran itu, timbul persoalan siapakah barisan pelapis tokoh wanita yang dapat dijadikan ikon negara  selain Tan Sri Zeti Aziz, Tan Rafidah Aziz, Aireen Omar CEO Air Asia? Siapakah pula  di Sarawak boleh kita namakan sebaris dengan nama-nama ikon tersebut? – Sarawakvoice