Hanya mereka yang layak kekal terajui kawasan – TPM Zahid

ALOR SETAR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam menggesa parti komponen Barisan Nasional (BN) bekerja keras meraih sokongan pengundi bagi membuktikan mereka layak kekal bertanding di satu-satu kawasan, terutama bagi yang kalah pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Ini kerana kata beliau, UMNO sudah banyak berkorban dengan memberi peluang kepada calon parti komponen untuk bertanding di kawasan tertentu sekalipun majoriti pengundinya Melayu, atas dasar perkongsian kuasa.

“Contohnya dalam (kawasan) Parlimen Alor Setar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Darulaman, kita kongsi kuasa dengan MCA…walaupun kita tahu lebih 80 peratus pengundi di kawasan Parlimen Alor Setar itu Melayu tapi untuk menghormati parti komponen kita bagi kerusi itu pada MCA dan parti lain.

“…kerana tujuannya secara konvensyen ada kawasan ditandingi UMNO kita perlukan undi daripada pengundi Cina dan India,” kata Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Alor Setar di Dewan Insaniah dekat sini semalam yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah selaku Ketua UMNO Bahagian Alor Setar.

Ahmad Zahid berkata UMNO sama sekali tidak akan membiarkan rakannya dalam komponen BN terkapai-kapai untuk memantapkan jentera PRU dan meraih sokongan, namun mereka perlu terlebih dahulu membantu diri sendiri supaya kemenangan berpihak pada BN.

“Kita tahu ada parti yang kita bantu dalam BN, kita tahu mereka ada masalah dalaman, ketika UMNO lemah kawan dalam BN bantu kita kerana mereka merupakan akar tunjang yang menghidupkan pokok BN.

“Ketika ini Insya-Allah UMNO berada dalam keadaan kukuh, oleh sebab itu UMNO juga wajib membantu mereka supaya mereka boleh kukuh di dalam pokok rimbun,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri turut meminta anggota dan pemimpin UMNO agar menerapkan unsur taat setia pada pemimpin, selain secara berseloroh menasihati Ahmad Bashah untuk tidak sama sekali ‘menggigit tangan yang memberi makanan’.

“Selagi saya diberi kepercayaan bantu Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), saya akan terjemahkan wala dan taat setia untuk beliau… ada cengkadak kata saya rancang jatuhkan Perdana Menteri.. cengkadak itu salah perhitungan, sebab waktu dia jadi ketua, siapa jadi orang nombor dua mesti ada masalah,” katanya.

Dalam konteks Kedah, Ahmad Zahid memberi jaminan bahawa beliau akan cuba sedaya upaya memberikan apa yang diperlukan oleh Negeri Jelapang Padi itu serta berjanji akan cuba ‘membisikkannya’ kepada perdana menteri jika beliau tidak mampu menunaikan permintaan Kedah.

“Saya akan pastikan perdana menteri bagi peruntukan lebih untuk Kedah… Kedah ini untung sebab menteri besarnya mempunyai hubungan yang begitu baik dengan perdana menteri,” katanya.

Beliau turut memuji Ahmad Bashah sebagai seorang yang sangat berdaya tahan dan berdaya saing dalam menghadapi pelbagai senario dalam dunia politik sehingga membolehkannya dipilih pucuk pimpinan menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

“Tidak ada dalam sejarah seorang menteri besar tidak duduk di negeri itu kecuali ada seorang (Mukhriz) itu sahaja… itupun rakyat Kedah boleh bertoleransi… itu sebabnya pucuk pimpinan memilih Ahmad Bashah,” katanya.

Ahmad Zahid turut menzahirkan penghargaan terhadap Ahmad Bashah atas pendirian UMNO Kedah yang mahu status quo jawatan tertinggi parti itu dikekalkan dalam pemilihan akan datang. Bernama