KUCHING: Dua lelaki berjaya diberkas sepasukan anggota Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kuching selepas didapati positif dadah ketika diperiksa dalam satu operasi rutin di sebuah pusat hiburan di Jalan Ang Cheng Ho di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, tangkapan dilakukan setelah saringan awal mendapati kedua-duanya positif metaphetamine dan ganja.

“Kita juga merampas sebanyak 0.53 gram syabu dan lima biji pil Eramin 5; kesalahan yang termaktub di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya lagi.

Seramai lapan lelaki dan empat wanita telah diambil sampel urin mereka dalam pemeriksaan tersebut, dengan kesemua wanita terbabit merupakan warga Thailand. – Sarawakvoice