KOTA KINABALU: Peserta pameran Karnival Kewangan Sabah 2017 Bank Negara Malaysia (BNM) yang berlangsung selama tiga hari, terdiri daripada industri kewangan dan insurans memuji inisiatif berterusan bank pusat dalam mendidik dan memberikan maklumat yang diperlukan kepada penduduk tempatan.

Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) berkata karnival yang bermula semalam itu berfungsi sebagai platform yang membolehkan penduduk tempatan mendapat akses mudah kepada semua jenis maklumat yang mereka perlukan contohnya mengenai celik kewangan.

Presiden AIBIM Datuk Mohd Redza Shah Abdul Walid berkata karnival berkenaan telah membawa wakil bank dan insurans dari ibu pejabat di Kuala Lumpur untuk datang ke sini dan membuka ruang pameran sertaberinteraksi dengan pengunjung yang memerlukan kepakaran mereka.

“Biasanya, pelanggan akan pergi ke bank mungkin jika mereka mahu memohon pinjaman peribadi atau apabila mereka menghadapi masalah … tetapi dengan karnival ini, BNM juga ingin mempromosikan hubungan yang baik antara penyedia kewangan dan pelanggan,” kata beliau di luar acara karnival itu.

Mohd Redza yang memetik ucapan Gabenor BNM, Datuk Muhammad Ibrahim, bahawa rakyat Sabah adalah pembayar yang baik dalam membayar balik pinjaman mereka kepada bank.

“Saya akan mencadangkan lebih banyak bank memberikan bantuan kewangan kepada penduduk tempatan di sini, terutamanya dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

AIBIM, yang kini mempunyai 27 bank anggota, adalah persatuan yang mempromosikan sistem dan amalan perbankan Islam yang kukuh di Malaysia.

Semalam, dalam ucapannya, Muhammad berkata, institusi kewangan telah menyalurkan pembiayaan sebanyak RM16.1 bilion kepada PKS di Sabah tahun lepas.

Ia merupakan 68 peratus daripada jumlah pembiayaan keseluruhan kepada entiti perniagaan di negeri itu.

Persatuan lain yang turut menyertai karnival tersebut ialah Persatuan Takaful Malaysia (MTA), dan Pengerusinya, Muhammad Fikri Mohd Rawi berkata, ketika ini wujud jurang dalam perlindungan insurans antara konvensional dan takaful, dengan hanya kira-kira 200,000 pemegang polisi perlindungan patuhsyariah.

Beliau berharap kesedaran orang ramai dapat dipertingkatkan melalui penganjuran karnival tersebut.

Selain insurans takaful, yang agak baharu dalam pasaran, insurans konvensional turut diwakili antaranya oleh Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM).

Ketua Pegawai Eksekutif PIAM, Mark Lim berkata, tiba masanya untuk persatuan itu menyertai acara yang dianjurkan oleh BNM memandangkan industri insurans ketika ini melalui proses penghapusan tariff kenderaan.

“Penetapan harga bagi insurans motor akan diliberalisasikan,” katanya.

Pada Mac 2016, BNM memperkenalkan langkah liberalisasi tarif insurans kenderaan dan kebakaran mengikut fasa sebelum berubah kepada liberalisasi sepenuhnya.

Mengikut pelaksanaan liberalisasi berfasa yang berkuat kuasa 1 Julai, 2017, pengguna dan perniagaan akan mempunyai lebih banyak pilihan untuk perlindungan insurans mereka.

Insurans kenderaan dan kebakaran mewakili lebih 60 peratus daripada pasaran insurans am keseluruhan setakat ini. Bernama