Anifah adakan dialog TN50 bersama rakyat Malaysia di Manila

KUALA LUMPUR: Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengadakan dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama rakyat Malaysia di Manila, Filipina.

Dalam satu kenyataan hari ini, Wisma Putra berkata dialog pada Sabtu merupakan yang kedua oleh menteri berkenaan yang melibatkan rakyat Malaysia di luar negara, dengan yang pertama ialah di London pada 7 Julai lepas.

Menurut kenyataan itu, acara tersebut mendapat sambutan hangat dan dihadiri lebih 70 rakyat Malaysia yang ketika ini menetap di Filipina yang mana peserta dialog turut terlibat dalam perbincangan dan berkongsi aspirasi mereka berkenaan masa depan Malaysia.

“Peserta berkongsi aspirasi mereka untuk rakyat pada 2050, bagi menerima pakai identiti nasional sebagai rakyat Malaysia, pada masa sama turut memelihara struktur kepelbagaian budaya dan etnik.

“Peserta juga menekankan betapa pentingnya untuk mempunyai dasar dan program nasional yang tidak akan berasaskan kepada perbezaan kaum” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi , isu pemuliharaan alam sekitar, penambahbaikan kemudahan penjagaan kesihatan luar bandar, ketelusan laporan media serta pembangunan keluarga yang seimbang juga dijadikan sebagai ciri utama untuk dimasukkan dalam program transformasi baharu.

Dialog TN50 adalah sebahagian daripada inisiatif menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), yang mana Anifah telah dilantik sebagai pemimpin segmen untuk menerajui penglibatan TN50 dengan rakyat Malaysia di luar negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan TN50 sebagai wawasan baharu Malaysia pada Oktober 2016 ketika membentangkan Bajet 2017 dengan sasaran meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-20 negara maju dari segi pendapatan per kapita dan negara maju dengan mengekalkan identiti negara. Bernama