TPM garis empat langkah untuk perkukuh kedudukan parti

SUNGAI PETANI: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggariskan empat langkah perlu dilakukan pemimpin UMNO dalam usaha memperkukuhkan kedudukan parti sekali gus memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan mengekalkan kerajaan sedia ada.

Ahmad Zahid berkata langkah pertama adalah pemimpin mesti turun ke bawah mendekati akar umbi pada setiap masa supaya tidak digelar pemimpin bermusim yang hanya turun sewaktu pemilihan parti dan pilihan raya umum sahaja.

“Dengarlah suara akar umbi…kita bukan (pemimpin) bermusim, kita pemimpin setiap masa tanpa musim. (Langkah) kedua pemimpin harus sehaluan. Tidak ada seorang pun dalam kalangan kita (anggota UMNO) mahu tengok pemimpin bergaduh,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Merbok di sini malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bahsah Md Hanipah dan Ketua UMNO Bahagian Merbok merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Datuk Tajul Urus Mat Zain.

Ahmad Zahid selaku Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO berkata sekiranya pemimpin ingin memilih calon untuk pilihan raya umum perlulah memilih calon yang boleh menang dan disukai dalam langkah ketiga manakala langkah keempat pula pemimpin mestilah keluar daripada zon selesa.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 86 peratus rakyat Kedah masih memerlukan BN untuk memberikan kebajikan kepada mereka manakala 76 peratus lagi mereka memerlukan parti berkenaan dalam pembangunan setempat berdasarkan satu kaji selidik yang dijalankan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Bila saya nyatakan demikian, ertinya, BN masih diperlukan rakyat Kedah untuk jaga pembangunan setempat. Jadi terserah kepada UMNO sama ada boleh memenuhi kehendak rakyat atau tidak…jangan layan masalah luar. Parti pembangkang tetap pembangkang terutama yang asal dari kita (UMNO),” katanya.

Ahmad Zahid berkata sehubungan itu pemimpin UMNO perlu mengekalkan semangat dan solidariti untuk memastikan kerusi Parlimen Merbok dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Dawai kekal di bawah BN serta merampas semula kerusi DUN Bukit Selambau.

Jangan jaga diri sendiri, yang penting jaga rakyat. Selesaikan kalau ada apa-apa masalah di Merbok, rakyat nak tengok UMNO menang, katanya.

Beliau berkata semangat dan solidariti antara pemimpin amat penting untuk mengekalkan kemenangan BN di negeri ini sekali gus berupaya meneruskan tampuk pemerintahan sedia ada dan memenuhi keinginan rakyat di negeri ini.

Ahmad Zahid berkata kepimpinan UMNO bahagian itu perlu mengambil iktibar kekalahan yang dialami BN pada PRU12 sehingga memberi peluang kepada pembangkang menerajui negeri ini kerana antaranya berpunca daripada sikap leka dan lupa diri dengan kemenangan majoriti besar yang diperoleh semasa PRU11.

Lupa diri, rasa terlalu selesa…masalah dalaman muncul, itu masalah kita. Tidak berperang dengan orang, tetapi berperang sesama sendiri…dalam PRU11, Allah SWT takdirkan kita dengan kenikmatan, bila kita lupa dengan kenikmatan itu, kita diuji dengan kekalahan pada PRU12, katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid juga memuji pemimpin lama seangkatan dengannya terutama Ahmad Bashah yang kekal setia bersama parti walaupun tidak terpilih menjadi Menteri Besar Kedah pada PRU13 kerana akur dengan keputusan kepimpinan tertinggi parti itu.

“…kami berjuang bukan kerana imbuhan, sebab kita ada daya tahan yang lebih,” katanya. Bernama