Sarawak wajib menang — Pengiran Bala

KUCHING: Tiada pilihan.  Malam ini Sarawak wajib menang. Itu ikrar Pengiran Bala mengulas aksi bertemu Pulau Pinang di Stadium Negeri.

Di atas kertas, Sarawak boleh mengutip tiga mata, tetapi bersandarkan rekod dan mimpi ngeri Stadium Negeri, misi itu sukar.

“Kita ada tiga pemain yang masih dibelenggu kecederaan iaitu Demerson Bruno Costa, Ronny Harun dan Sahil Suhaimi.

“Saya tidak dapat mengesahkan sama ada mereka dapat diturun atau tidak … semuanya akan diputus saat-saat akhir,” katanya hari ini.

Pengiran menjelaskan, beliau berusaha untuk menurunkan barisan terkuat, dan berharap dapat mengeluarkan pemain-pemain yang telah berehat panjang.

“Kita mahu pasukan yang segar dan bertenaga, serta pemain yang telah mendapat rehat secukupnya.

“Pada masa yang sama kita mahu memberi ruang sebesar mungkin kepada pemain muda untuk menimba pengalaman,” tegasnya.

Katanya, prestasi baik dengan menang 2-1 terhadap Selangor dalam aksi Piala Malaysia seharusnya menjadi bekalan anak-anak buahnya memburu kemenangan malam ini.

“Kita tahu mereka ada Mark Hartmann dan Sanna Nyassi selain dilatih Zainal Abidin Hassan.

“Sebab itu kita perlu bermain bermati-matian bagi memperjuang tiga mata berharga.

“Amat penting kita keluar dari zon penyingkiran dan malam ini kita harus bangkit,” katanya lagi.

Kata Pengiran, malam ini, aksi pemain-pemain muda akan terus dipertaruh bagi memberi tenaga baharu kepada pasukan.

Sarawak dan Pulau Pinang merupakan dua pasukan yang berada pada kedudukan tercorot liga. – Sarawakvoice