Industri 4.0 perlukan lebih ramai tenaga mahir

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu melahirkan lebih banyak pekerja mahir terutamanya penganlisis data besar apabila negara bergerak memasuki era Industri 4.0 iaitu pendigitalan dan pengautomasian sektor pembuatan.

Ketua Pegawai Operasi Talent Development (M) Sdn Bhd Prasanna Sailanathan berkata kemahiran pekerja tempatan sedia ada juga perlu dilatih semula dan digilap kembali sejajar dengan perubahan besar dalam industri berkenaan.

Beratus-ratus kemahiran baharu diperlukan untuk melaksanakan Industri 4.0, katanya pada sidang media di sini semalam, mengenai Industri 4.0 dan Pendigitalan yang akan diadakan pada 4 dan 5 Sept ini di di sini anjuran Institut Pengurusan Malaysia (MIM) dan Talent Development.

Beliau berkata peralihan kepada data besar amat memerlukan khidmat penganalisis dan saintis data.

Mengenai kesediaan sistem pendidikan Malaysia dalam memenuhi keperluan kemahiran baharu itu, beliau berkata kerajaan telah melaksanakan usaha bagi mempersiapkan tenaga kerja tempatan dengan pengetahuan tentang Industri 4.0, termasuk memperkenalkan pengekodan dalam silibus sekolah kebangsaan.

Beliau berkata walaupun beberapa politeknik sudah melaksanakan silibus Industri 4.0, Talent Development sudah mengambil langkah untuk memenuhi permintaan baharu tersebut.

“Sehingga kini, kami sudah melatih kakitangan di 52 syarikat di seluruh Malaysia mengenai Industri 4.0,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIM R. Sivanganam berkata Industri 4.0 yang dipacu data besar akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan bagi penganalisis dan saintis data.

“Banyak keputusan yang dipacu data akan perlu dibuat dan di sinilah peningkatan kemahiran sangat penting. Di samping kawalan kualiti, kita juga akan memerlukan saintis data besar, penganalisis data besar,” katanya.

Antara penceramah terkemuka yang akan mengambil bahagian pada persidangan itu ialah Prof Dr Holger Kohl, yang merupakan profesor bidang pembangunan korporat lestari di Technical University of Berlin yang juga pengarah Bahagian Pengurusan Korporat di Fraunhofer Institute for Production Systems and Design Technology (IPK).

Beliau pernah terlibat dalam projek besar di Malaysia, Brazil, Indonesia, Vietnam dan China. Penceramah lain termasuk ketua Competence Centre Pacific FEASTO AG di Singapura Dr Lutz Seidenfaden, pengarah jualan rantau Asia Pasifik Bosch Software Innovations Swaroop Balakrishnan serta naib presiden dan ketua Bahagian Kilang Digital dan Industri Proses dan Pacuan, Siemens Malaysia Adam Yee. Bernama