KUALA LUMPUR: Sempena hari Kebangsaan Ke-60 serentak penganjuran Sukan Sea 2017 bulan ini, seluruh rakyat Malaysia perlu menzahirkan semangat patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, mengibar bendera bukan sekadar simbolik, bahkan ia menggambarkan kekuatan semangat patriotisme yang tersemat di hati rakyat.

Salleh melalui blog sskeruak.blogspot.my pada Jumaat sebagaimana dipetik Bernama menulis, “Negaraku Sehati Sejiwa wajar bagi rakyat bersatu hati sama-sama menyambut kemerdekaan.”

Salleh berharap sambutan kemerdekaan negara tahun ini lebih gemilang dan meriah seiring peranan Malaysia selaku tuan rumah temasya Sukan SEA 2017 ke-29, berlangsung 19-31 Ogos di Kuala Lumpur.

Malaysia turut menjadi tuan rumah Sukan Para Asean 2017 September nanti.

“Tunjukkan kepada negara luar betapa kuatnya jiwa patriotik kita anak Malaysia,” ujar Salleh.

“Tunjukkan kepada negara luar kita bangsa yang menjunjung tinggi akhlak dan budaya, bukannya bangsa yang lupa sejarah.”

Tambah beliau, “marilah kita buktikan kemerdekaan sebagai lambang pemersatu kita rakyat Malaysia. Sambutlah kemerdekaan kita dengan penuh kebanggaan.” – Sarawakvoice