Masa depan cerah dengan konsep niaga food truck

Mohd Asyraf Bokhari, 28 dari Felda Chemplak Barat Segamat, Johor berkata, keputusannya beralih ke bidang perniagaan food truck adalah disebabkan minat dan juga mahu mengubah nasib keluarganya di samping menjana pendapatan tambahan.

Anak bongsu daripada lima beradik itu pada awalnya berniaga gerai burger tapi kemudiaan beralih ke perniagaan food truck dengan menyediakan pelbagai jenis makanan dan minuman.

Gambar fail

“Saya memang minat berniaga, saya ini adik beradik ramai dan tidak mahu terlalu mengharapkan daripada keluarga semata-mata.

“Zaman sekarang tidak boleh harapkan keluarga, jadi nak ubah masa depan kena cari jalan berniaga,” katanya.

Mohd Asyraf berkongsi modal dengan abangnya untuk memulakan perniagaan food truck tanpa mendapat pembiayaan daripada manamana pihak.

“Pihak kerajaan perlu bantu untuk anak peneroka ceburi bidang perniagaan, sediakan platform untuk kembangkan perniagaan dan bantu untuk memulakan perniagaan. “Anak peneroka kurang info dan pendedahan mengenai bidang perniagaan,” katanya.

Dalam pada itu, dua beradik Masliza Nizam Abd Mansor, 44 dan adiknya, Maizatul Nisak Abd Mansor, 41 dari Felda Teloi Timur Kuala Ketil, Kedah mengharapkan pihak kerajaan dapat membuka mata dengan memberi peluang perniagaan kepada anak peneroka untuk diceburi.

“Kebanyakkan anak peneroka yang memulakan perniagaan foodtruck ini menggunakan modal sendiri, cuma bagaimana pula dengan mereka yang berminat untuk berniaga tapi tidak memiliki modal?

“Oleh itu, saya harap Felda dapat membuka mata dan ada sesuatu inisiatif untuk bantu anak Felda,” ujarnya.

Masliza sering memandu mengelilingi seluruh negara bersama adiknya jika terdapat jemputan daripada pihak penganjur food truck dan menyifatkan pengalaman berniaga adalah sesuatu yang amat bermakna disamping menjana pendapatan keluarganya.

“Nak ubah nasib keluarga tidak boleh bergantung semata-mata kepada ladang, cuma berani atau tidak. Anak peneroka perlu lebih ramai terlibat dalam bidang perniagaan, tidak kisah sama ada food truck atau perniagaan lain,” ujarnya.