Usahawan digesa guna sebaik mungkin Pusat Internet 1Malaysia

KUALA NERANG: Usahawan desa di negara ini digesa menggunakan Pusat Internet 1Malaysia (Pi1M) dalam mentransformasikan produk keluaran tempatan seiring dengan perkembangan teknologi maklumat yang kian pesat ketika ini.

Ketua Sektor Digital dan Ekosistem Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus berkata, sebelum ini tahap capaian adalah rendah, namun ia telah berkembang melebihi 78 peratus dan ia adalah sesuatu yang baik untuk mentransformasikan pasaran sekali gus meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar.

“Pada 2007, kita hanya mengajar cara membuka laman web dan aplikasi di dalam komputer kepada pelajar dan penduduk di kawasan pedalaman, namun keadaan telah berubah di mana ramai telah celik internet dan transformasi pemasaran produk dibuat dengan lebih berkesan,” katanya kepada pemberita pada program ‘Lawatan Media: Menarik di Padang Terap’, di Kuala Nerang, di sini, pada Khamis.

Katanya, sehingga kini sebanyak 820 Pi1M telah beroperasi di seluruh Malaysia dengan keahlian penggunanya mencecah 550,000 orang.

Daripada jumlah itu, 30 peratus menggunakan Pi1M untuk memasarkan produk dalam dan luar negara menerusi laman sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter serta Whatsapp .

“Kita mengambil contoh Kelulut Jelutong Madu di Kuala Nerang, Kedah di mana pengusahanya sebelum ini hanya memperoleh RM200 hingga RM300 sebulan tetapi selepas menggunakan aplikasi yang terdapat di Pi1M, pendapatannya meningkat hingga RM1,200 sebulan.

“Pengusaha rumah bot di Tasik Pedu pula pendapatannya mencecah kepada lebih RM10,000 berbanding RM2,000 yang diperoleh sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, SKMM memperkenalkan konsep kluster kepada sembilan Pi1M di daerah Padang Terap untuk kakitangannya bekerja secara berkumpulan untuk menonjolkan produk dan perkhidmatan yang terdapat di sesebuah daerah.

“Konsep ini membolehkan mereka mengendalikan program-program yang lebih besar dan bersepadu, serta berkongsi kemahiran dan kelebihan yang ada untuk mempromosikan produk komuniti tempatan agar lebih tinggi,” katanya.

Menurut beliau, Pi1M Wilayah Utara akan mempromosikan produk komuniti dengan mewujudkan laman Facebook “Menarik Di…” dan laman web www.menarikdi.com untuk mengabungkan semua produk dalam satu platform.

Katanya, inisiatif ini memberi impak positif kepada penduduk tempatan khususnya bagi meningkatkan pendapatan tambahan dengan kemasukan pelancong dalam dan luar negara ke Padang Terap.

“Setiap kluster akan mengendalikan Facebook page contohnya Menarik Di Yan, Menarik Di Langkawi dan Menarik Di Padang Terap. Inisiatif ini dapat mengekploitasi produk tempatan, perkhidmatan serta tempat yang menarik untuk dilawati, selain kluster ini akan melihat kelebihan yang ada untuk diketengahkan agar menjadi rujukan atau tarikan pelawat luar dan tempatan,” katanya. Bernama