Saudi kurnia pingat kepada tentera Malaysia sertai misi Yaman

KUALA LUMPUR: Seramai 22 pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima sijil dan pingat daripada kerajaan Arab Saudi atas sumbangan mereka semasa Operasi Yaman (Op Yaman) yang dilaksanakan sejak Mei 2015.

Menurut Markas ATM, pingat itu diberikan sebagai penghargaan kepada para pegawai sewaktu misi evakuasi rakyat Malaysia untuk keluar dari Yaman yang bergolak dalam perang saudara, menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia.

“Sehingga kini Op Yaman masih dilaksanakan bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di Yaman,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan pada Majlis Makan Malam sempena lawatan Panglima Angkatan Tentera Arab Saudi, Jen Abdaul Rahman Saleh Al-Banyan ke Malaysia, malam tadi.

Pingat dan sijil disampaikan Abdaul Rahman kepada para penerima dengan disaksikan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Johari Baharum dan Panglima ATM, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jen Datuk Seri Zulkiple Kassim, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara, Jen Datuk Seri Affendi Buang.

Menurut ATM, aset dan trup ATM sentiasa diletakkan dalam keadaan bersiap sedia untuk diatur gerak bagi melaksanakan evakuasi sekiranya pergolakan berlaku.

Aset dan trup ATM turut mengadakan latihan bersama Angkatan Tentera Arab Saudi di Riyadh bagi meningkatkan kerjasama antara kedua-dua pihak dalam pelaksanaan Operasi Gabungan, menurutnya.

Tentera Arab Saudi yang disertai tentera pakatan Teluk melancarkan operasi ketenteraan bagi menyelamatkan pemerintahan Presiden Abedrabbo Mansour Hadi semasa pergolakan di Yaman.

Raja Mohamed Affandi ketika ditemui pemberita kemudiannya berkata lawatan rakan sejawatanya itu amat bermakna yang sekali gus membuktikan kerjasama ketenteraan antara kedua-dua negara adalah amat baik.

“Kami dapat berbincang kaedah untuk mengukuhkan aspek latihan ketenteraan,” katanya. Bernama