KUALA LUMPUR: Bagi tempoh Januari 2016 hingga Jun 2017, sebanyak 221 kes melibatkan media sosial, laman sesawang dan blog di internet disiasat.

Daripada jumlah itu, 19 kes dikompaun dan lima kes didakwa serta disabitkan kesalahan.

Sementara, hampir 2,000 akaun palsu dengan sekitar 75 peratus daripadanya diambil tindakan termasuk sekatan dan penutupan akaun.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata Kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan menangani penularan berita palsu di internet.

Menurut Salleh di Dewan Rakyat memetik Bernama, pihak berwewenang melaporkan penyelewengan bahan dan kandungan maklumat yang melanggar terma dan syarat kepada pengendali asal media sosial seperti Facebook dan Twitter yang beroperasi di luar negara untuk membuat tindakan termasuk menutup akaun pelaku.

Menjawab soalan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BN-Sabak Bernam) di Dewan Rakyat, Salleh berkata siasatan dan tindakan diambil berdasarkan Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1984, Akta Fitnah 1957 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 98).

Menurut beliau, kerajaan menyediakan portal “sebenarnya.my” sebagai inisiatif menangani masalah penularan berita palsu, selain mempelawa orang ramai membuat aduan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Salleh turut mendedahkan, kini penggunaan aplikasi WhatsApp mencapai 89 peratus antara yang tertinggi di Malaysia.

Beliau berkata, penggunaan itu sangat aktif dengan kebanyakan rakyat berkongsi maklumat yang diperoleh menerusi aplikasi tersebut.

“Sebanyak 21 juta pengguna internet di negara ini di mana yang tertinggi adalah WhatsApp dan Facebook,” ujar Salleh.

Di Dewan Rakyat, Salleh turut menyatakan kementeriannya sedia mempertimbangkan undang-undang baharu untuk bertindak terhadap penyebaran berita palsu yang bermotifkan politik dan menyebarkan kebencian kepada rakyat.

Menjawab soalan Datuk Fasiah Mohd Fakeh (BN-Sabak Bernam), Salleh berkata kerajaan tidak membezakan individu sama ada pro kerajaan atau pro pembangkang, tindakan bagi isu ini adalah berdasarkan kepada ketetapan undang-undang. – Sarawakvoice