PUTRAJAYA: Pengamal kemampanan perniagaan Malaysia adalah yang paling bimbang tentang kemampuan penyumberan negara dalam menghadapi cuaca ekstrem dan banjir berbanding komuniti di negara lain khususnya selepas keadaan banjir yang semakin buruk di Asia Tenggara.

Menurut satu kajian yang bertajuk ‘Kawalan Banjir di Asia Tenggara’, hampir 70 peratus responden di rantau ini meramalkan bahawa negara mereka akan terus berhadapan dengan cuaca melampau dalam dekad akan datang dan ini akan menjejaskan ekonomi domestik serta infrastruktur.

Kajian itu dijalankan oleh pembekal peralatan pam antarabangsa, Grundfos serta perusahaan sosial yang memberi fokus kepada kemampanan, Eco-Business Research, ia melakukan soal jawab dengan 417 peneraju dalam industri kemampanan merentasi Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Dalam satu kenyataan semalam, kajian itu menyatakan bahawa kebanyakan responden percaya purata suhu telah meningkat dan musim tengkujuh semakin sukar diramalkan.

“Ramalan-ramalan ini amat membimbangkan bagi sebuah negara seperti Malaysia dengan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi menganggarkan menjelang 2070, bandar-bandar yang berisiko di negara ini boleh rugi sehingga US$84 bilion dalam gabungan aset disebabkan oleh keadaan cuaca yang buruk, “katanya.

Kajian itu mengumumkan walaupun Malaysia tidak merekodkan banjir yang lebih dasyat berbanding sebahagian daripada jirannya, bencana seperti yang berlaku pada Januari dan Mei tahun ini, boleh menyebabkan kemusnahan dan gangguan secara besar-besaran kepada mata pencarian.

“Malangnya, keadaan ini dijangka menjadi lebih buruk, dengan hujan yang lebih kuat yang diramalkan pada dekad akan datang,” ia ditambah. Bernama