Pembangunan diteruskan walaupun di kawasan DAP

JELEBU: Sejak 40 tahun lalu, Kampung Chennah di sini tidak pernah terpinggir daripada sebarang projek pembangunan. Infrastruktur yang ada di kampung tersebut sama seperti yang terdapat di desa-desa lain menjadikan penduduk di kampung itu mampu menjalani kehidupan selesa.

Dari segi keselamatan, pendidikan serta kesihatan pula kampung berkenaan lengkap dengan kemudahan awam apabila kerajaan menyediakan sekolah kebangsaan, balai polis dan klinik kesihatan yang digunakan oleh penduduk setempat dan masyarakat Orang Asli di situ. Hasil pertanian seperti menoreh getah serta tanaman buah-buahan menjadi sumber ekonomi kepada penduduk di kampung berkenaan.

Bagi generasi kedua di kampung Chennah pula, mereka lebih selesa berhijrah ke bandar dan ibu kota untuk mendapatkan pekerjaan dan ada juga di antara mereka menjadikan hasil kampung hasil peninggalan orang tua sebagai pendapatan skunder mereka.

Ketua Wanita UMNO Cawangan Kampung Chennah, Ismah Taharin (gambar kecil) berkata, masyarakat di kampung itu hidup dalam keadaan yang aman dan sejahtera tanpa menghadapi sebarang masalah.

Katanya, pergaulan penduduk dan masyarakat Orang Asli di situ umpama sebuah keluarga lebih-lebih mereka boleh menggunakan perkhidmatan yang disediakan kerajaan tanpa berlaku diskriminasi.

“Kita selalu bersama dengan ketua cawangan dan AJK (ahli jawatan kuasa) masing-masing sama juga dengan pergerakan pemuda.

“Kami bergaul dengan Orang Asli di sini macam adik beradik sama ada di kedai atau di mana sahaja di kampung ini,” katanya kepada ketika di temui di kampung berkenaan baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, beliau agak kecewa dengan tindakan segelintir golongan belia di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah yang terpengaruh dengan pembangkang sehingga Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.

“Di kampung ini tidak ada masalah kerana majoritinya golongan muda mudi menyokong BN. Ia dapat dilihat apabila hasil daripada keputusan pengundian menunjukkan pengundi muda di sini masih rasional memilih kerajaan sedia ada yang banyak menabur budi.

“Cuma apabila digabungkan dengan undi daripada kawasan lain di DUN ini, calon BN akhirnya tewas dengan DAP,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Ismah menemplak wakil rakyat daripada parti DAP di kawasan itu yang langsung tidak pernah turun padang bertemu dengan penduduk selepas menang dalam pilihan raya umum lalu.

Katanya, tidak ada program diadakan oleh wakil rakyat berkenaan apatah lagi mahu mengadakan usaha untuk merapatkan lagi hubungan masyarakat di kawasan DUN Chennah.

“Saya sendiri tak kenal dengan wakil rakyat DAP itu apatah lagi orang kampung di sini.

“Apa yang berlaku tidak sama seperti wakil rakyat BN sebelum ini yang lebih mesra dengan kami masyarakat desa,” tambahnya.