Pembangkang sering tabur janji manis, fitnah dan sebar berita palsu – Ali Rustam

MELAKA: Pengundi seluruh negara perlu melihat apa yang terjadi di Parlimen Bukit Katil di sini sebagai bukti nyata bahawa pembangkang hanya tahu menabur janji manis pada pilihan raya demi mendapatkan undi, kata bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Mohd Ali Rustam.

Beliau berkata selepas pembangkang dipilih pada pilihan raya umum (PRU) lepas di parlimen itu, janji ditabur kepada rakyat antaranya menjaga kebajikan mereka tetapi telah dilupakan, malah wakil rakyat pembangkang yang dipilih gagal turun padang bagi mengetahui dan menyelesaikan sendiri masalah rakyat.

Gambar fail

Justeru katanya pengundi terutama di kawasan pembangkang dinasihatkan agar mengambil iktibar apa yang berlaku di Bukit Katil dan bijak membuat pilihan bagi menentukan kerajaan yang bakal mentadbir kawasan mereka agar kebajikan mereka sentiasa terbela.

“Pengundi perlu melihat rekod terdahulu pembangkang ketika mentadbir sesuatu kawasan bagi memastikan janji yang ditabur ditunaikan, agar pisang tidak berbuah dua kali. Pembangkang memang suka berjanji tetapi tidak ditunaikan.

“Seperti yang berlaku di Parlimen Bukit Katil ini tiada pembangunan atau kemajuan dilaksana,” katanya kepada pemberita selepas program baik pulih rumah secara gotong-royong peringkat Parlimen Bukit Katil di sini, semalam.

Pada PRU lepas calon PKR iaitu Shamsul Iskandar Mohd Akin menang dengan majoriti 5,447 undi menewaskan Mohd Ali.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebagai contoh pemimpin pembangkang di Parlimen Bukit Katil itu hanya tahu berslogan dan bersuara di Dewan Rakyat namun tidak turun padang untuk mendekati, mendengar dan menyelesaikan masalah rakyat.

Katanya berbeza dengan Barisan Nasional (BN), pemimpin parti berkenaan sentiasa memastikan kebajikan rakyat di kawasan sendiri ataupun di kawasan pembangkang sendiri dibela dan dijaga.

Mohd Ali berkata banyak aduan yang diterimanya sendiri daripada rakyat di kawasan pembangkang bahawa nasib dan masalah mereka tidak didengari atau dibantu sebaliknya pemimpin pembangkang berkenaan meminta mereka untuk mendapatkan bantuan daripada wakil rakyat BN.

“BN mempunyai rekod prestasi yang bersih dan baik untuk membantu rakyat dengan menyediakan pelbagai infrastruktur asas dan kita bercakap perkara yang munasabah yang kita boleh laksanakan, bukan seperti pembangkang yang hanya menabur janji,” katanya.

Beliau berkata selain menabur janji, pembangkang juga sering menabur fitnah dengan fakta dan maklumat yang tidak benar tentang kepimpinan BN untuk mengelirukan rakyat. Bernama