Nga Kor Ming cari pasal lagi, Tun Razak dilabel Pengkhianat Negara, julang Chin Peng sebagai wira

Parti Tindakan Rakyat (Dap) sekali lagi membuat provokasi melampau dengan mendakwa Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri kedua sebagai petualang dan pengkhianat bangsa.

Menurut blog Utaranews.com, Ahli Parlimen Taiping itu malah cuba mencetuskan permusuhan antara kaum membabitkan Melayu dan Cina apabila menghina Perdana Menteri kedua Malaysia, Allahyarham Tun Abdul Razak menerusi laman facebooknya.

Kor Ming dilihat cuba menggambarkan dan memberikan persepsi bahawa Allahyarham Tun Razak adalah seorang pengkhianat yang telah bekerja dengan Jepun.

Dia turut membandingkan Allahyarham dengan Chin Peng yang menurutnya, adalah seorang wira negara kerana berjuang menentang Jepun meskipun seorang komunis.

Ayat yang menarik dalam gambar tersebut, antara lainnya menyebut, kalau si bapa adalah “seorang pengkhianat”, maka tidak hairanlah anaknya yang sekarang ini adalah Perdana Menteri menjual berbilion-bilion ringgit tanah negara ini kepada pihak asing.

Untuk membuktikan tuduhannya, sekeping gambar lama Tun Razak yang berpakaian seakan-akan tentera Jepun disiarkan walaupun itulah pakaian yang digunakan oleh anggota Malayan Civil Service yang berada di bawah perintah Jepun.

Bagi golongan yang tidak faham, tidak tahu dan tidak peduli akan sejarah negara, terutama sekali membabitkan penaklukan dan pendudukan tentera Jepun ke atas Tanah Melayu, serta pembabitan komunis yang ditubuhkan pada tahun 1930, sudah pasti akan menerima bulat-bulat apa yang dikatakan oleh Kor Ming.

Kor Ming berasal dari Ayer Tawar, Manjung yang turut menempatkan Kampung Baharu Ayer Tawar.

Ia merupakan kawasan penempatan semula atau lebih tepat lagi kampung baharu masyarakat Cina yang terdedah kepada komunis. Walaupun sebahagian besar daripada masyarakat Cina tersebut tidak menyokong PKM, tetapi sebahagian yang lain merupakan penyokong malah anggota PKM sendiri.

Tun Razak merupakan antara anak Melayu yang sangat berani kerana sanggup menyusup masuk Perkhidmatan Awam Malaya meskipun usianya masih muda pada ketika itu.

Dari dalam, dia menyalurkan pelbagai maklumat serta pergerakan tentera Jepun bahkan mengelakkan orang Melayu melalui tragedi Sook Ching atau pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Jepun seperti yang berlaku kepada orang-orang Cina.

Menerusi Perkhidmatan Awam Malaya itulah Tun Razak bertemu dengan Yeop Muhyidin, yang kemudian menubuhkan Askar Wataniah yang berjuang menentang tentera Jepun secara lebih efektif.

Mereka bukannya bercita-cita untuk menakluk negara ini sepertimana pengganas komunis yang diketuai oleh Chin Peng, yang bercita-cita untuk menjadi pemerintah tunggal negara ini menerusi keganasan dan kekejaman.

PKM dan Chin Peng awalnya bekerjasama dengan British. Namun apabila Hiroshima dan Nagasaki dibom, tentera Jepun menyerah kalah, menjadikan pentadbiran negara tidak stabil.

Kesempatan tersebut diambil oleh PKM dan Chin Peng untuk keluar dan berlagak seolah-olah merekalah yang berjuang membebaskan negara ini daripada cengkaman tentera Jepun.

Fitnah besar yang dibuat dan dikongsi oleh Kor Ming sebenarnya memerlukan tindakan undang-undang yang lebih tegas.

Kor Ming bukannya orang biasa. Dia adalah seorang penggubal undang-undang iaitu Ahli Parlimen dan ADUN. Apa yang dilakukannya adalah bertujuan untuk menimbulkan kebencian antara orang Melayu dan Cina.

Kepada orang Cina, Kor Ming cuba memberitahu kononnya orang Melayu adalah pengkhianat negara ini, sebaliknya negara ini terhutang budi sepenuhnya kepada orang Cina yang telah membebaskan negara daripada cengkaman tentera Jepun.

Untuk orang Melayu, Kor Ming mahu mencetuskan sentimen kebencian terhadap orang Cina yang tidak mengenang budi kerana dibenarkan menetap dan kemudian diberikan pelbagai hak. – Sarawakvoice