Menara Torch, 86 tingkat di Dubai terbakar kali kedua

DUBAI: Sebuah bangunan kediaman pencakar langit setinggi lebih 300 meter di Dubai, Menara Torch di daerah Marina, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilaporkan terbakar awal pagi Jumaat.

“Tiada kecederaan dilaporkan setakat ini di Menara Torch,” lapor mesej Twitter kerajaan Dubai.

Api yang marak memusnahkan sebahagian besar bangunan sehingga sisa dan puing berterbangan berisiko menghentam orang di bawah bangunan.

Menurut saksi, api muncul pada awalnya dari bahagian atas bangunan dan kemudian merebak cepat lalu membakar bangunan 86 tingkat itu.

Mirror melaporkan pada Jumaat, kebakaran berlaku sekitar 1 pagi waktu setempat.

Ini merupakan kebakaran kedua menimpa Menara Torch tersebut selepas tragedi 2015 berpunca daripada ledakan alat pemanggang.

Kali ini, pihak berkuasa berjaya mengeluarkan penghuni bangunan dan sama seperti kejadian 2015, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pada 2015, beratus-ratus orang dipindahkan selepas api merebak dalam menara yang sama yang mencederakan 10 penghuni. – Sarawakvoice