Abang Jo raikan ulang tahun ke-67 dengan kesederhanaan, ucap terima kasih dalam Facebook

KUCHING: Datuk Amar Abang Johari Tun Openg hari ini genap berusia 67 tahun, dan pertama kali meraikannya sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Tanpa acara rasmi dan enggan menerima iklan tahniah, Abang Johari sekitar jam 7 pagi tadi hanya merakamkan sedikit ucapan menerusi akaun facebooknya.

Beliau memuat nail status: “Salam – Kepada semua, saya mengucap terima kasih di atas ucapan tahniah yang saya terima.

“Saya minta maaf kerana tidak dapat membalas satu-persatu.

“Saya bagaimanapun berdoa pada hari Jumaat ini agar Allah memberi taufik hidayah, keimanan yang teguh dan kesihatan yang baik untuk meneruskan ibadah kepada agama dan negara dalam aman dan sejahtera. Wassalam.”

Petang semalam, ketika mengadakan perbincangan tertutup dengan Timbalan Ketua Menteri, rakan kabinet dan pimpinan parti komponen Barisan Nasional di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, satu acara kecil sempat diadakan bagj meraikan ulang tahun kelahiran Abang Johari.

Antara yang hadir termasuklah Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Dr. James Jemut Masing, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Prof. Dr. Sim Kui Hian, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom dan Pengerusi Parti Demokratik Progresif, Datuk Seri Tiong King Sing.

Sementara itu dalam acara yang berbeza, Ketua Menteri dan isteri Datin Amar Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang menerima kunjungan daripada seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang menderita barah, Norhafifa Mohd Shuhaimi dari Pulau Pinang yang telah menyatakan hajatnya untuk mengunjungi bandar raya Kuching. – Sarawakvoice