KUALA LUMPUR: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) hari ini menjelaskan kerugian RM209 juta pada 2015 bukannya berpunca daripada kerugian operasi, sebaliknya disebabkan aktiviti mengklasifikasikan akaun peminjam tertunggak sebagai akaun lapuk.

Malah, Pengerusinya, Datuk Nor Azita Abdul Rahman berkata, Tekun Nasional mencatatkan keuntungan RM19.5 juta pada tahun kewangan 2015 sebelum aktiviti hapus kira hutang berkenaan.

Beliau menjelaskan, kerja menghapus kira hutang lapuk tersebut melibatkan akaun tertunggak melebihi 24 bulan berjumlah RM230 juta yang membabitkan 27,765 peminjam dari 1999 hingga 2014.

“Kerugian yang dialami ini bukan bermaksud Tekun Nasional tak ada duit dan tak boleh nak menjana kewangan, malah kita mencatatkan keuntungan RM19.5 juta pada tahun kewangan 2015 sebelum aktiviti hapus kira ini dijalankan.

“Sebenarnya, kalau mengikut baki tunai, Tekun Nasional berada pada (paras) kewangan sangat baik. Ianya disebut dalam laporan audit yang aliran tunai Tekun berada dalam keadaan memuaskan, maksudnya kita ada kewangan yang cukup,” katanya kepada Bernama hari ini. Bernama