KUALA LUMPUR: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam berkenan untuk menyumbang sejumlah RM4 juta kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menurut Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dalam satu kenyataan hari ini, sumbangan berkenaan adalah sebahagian daripada pemberian bonus kepada pasukan kebangsaan Bawah 22 (B-22) yang berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir Kejuaraan B-23 Persekutuan Bolasepak Asia (AFC) 2018 di China.

 “Kurniaan ini juga dapat membantu FAM dalam pembangunan sukan bola sepak tanah air secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan itu.

Skuad B-22 negara bimbingan Datuk Ong Kim Swee beraksi cemerlang di pusingan kelayakan yang berlangsung di Bangkok, Thailand Julai lepas apabila muncul juara Kumpulan H dengan mengutip enam mata. Bernama