Speaker Dewan Rakyat mengadu tukulnya patah…

KUALA LUMPUR: Rakaman video di Sidang Dewan Rakyat di akaun KiniTV di Youtube pada Rabu, menarik perhatian rakyat apabila Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia mencelah meminta Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) yang sedang berucap supaya duduk dahulu.

Pandikar tiba-tiba memegang tukul dan berkata kepada Bentara Parlimen, “Ini bentara, ambil maklum, tukar saya punya tukul sebab patah,” kata beliau.

Pandikar mengangkat tukul “kuasa” itu dengan tangan kanan dan memegang hujungnya dengan tangan kiri.

“Saya mahu yang solid,” kata Pandikar dengan nada serius, namun disambut gelak ketawa ahli dewan.

Melalui video yang sudah ditonton lebih 21,000 di Youtube, Pandikar berkata lagi: “Saya serius, dia sudah patah tadi, “Jadi ambil yang solid, yang tidak boleh patah…” katanya.

Pandikar bangun bersalam dengan Timbalannya Datuk Ismail Mohamed Said yang mengambil alih pengendalian Dewan Rakyat, sebelum meninggalkan kerusinya.

Anggota Parlimen BN Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mencelah berkata, “tukar besi kasi speaker. Ini pembangkang punya hal,” katanya.

Ismail ketika memberi laluan Ngeh menyambung ucapannya berkata, “walaupun begitu, tidak menghalang saya mengambil tindakan juga ya…”

Menurut Wikipedia, Yang Dipertua Dewan Rakyat Malaysia merupakan pengerusi majlis atau speaker setiap kali persidangan Dewan Rakyat berlangsung di Parlimen.

Penjawat jawatan ini boleh dipilih dari kalangan ahli Dewan Rakyat atau bukan dari kalangan ahli Dewan Rakyat, tetapi mempunyai kelayakan untuk dipilih menjadi Yang Dipertua.

Bagaimanapun, Timbalan Yang Dipertua mestilah seorang Ahli Parlimen.

Pandikar dari BN merupakan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi Parlimen ke-12 merupakan Speaker Dewan Rakyat ke-8 dan tidak mempunyai kerusi di parlimen adalah penjawat pertama dari Sabah.

Sebagai Yang di-Pertua, beliau bertanggungjawab:

– mengawasi persidangan supaya berjalan dengan lancar.

– mengatur debat sepaya tidak menyimpang dari isu dibahaskan.

– membuat keputusan berkaitan Aturan Urusan Mesyuarat sekiranya berlaku perbalahan.

– memeriksa sama ada petisyen, rang dan pindaan undang-undang boleh diterima.

– menentukan bila sidang bermula dan berakhir, dan boleh menangguhnya sementara jika perlu.

Yang di-Pertua turut bertanggungjawab memastikan Perlembagaan dihormati, mendisiplinkan ahli dewan, menentukan siapa yang berhak bersuara, memanggil undi dan memeriksa korum setiap kali bersidang.

Beliau cuma mengundi sekiranya ada undi yang berakhir dengan seri.

Apabila Yang di-Pertua tidak dapat menghadiri persidangan Dewan Rakyat, tugas dan fungsinya dipikul oleh salah seorang daripada dua timbalannya. – Sarawakvoice