Pekerja prestasi lemah, dipaksa minum air dari lubang jamban!

GUANG’AN: Shanghaiist pada Rabu melaporkan, kedua-dua pelatih yang baru bekerja di studio foto di Guang’an, wilayah Sichuan menerima hukuman di luar perikemanusiaan daripada majikan mereka.

Menurut Beijing News, kedua-duanya dihukum kerana dinilai tidak mencapai sasaran prestasi di syarikat berkenaan.

Kedua-duanya mengambil air dari lubang tandas cangkung dan meninjau-ninjau cawan yang digunakan sebelum meminumnya dengan teragak-agak.

Diketahui kemudiannya, pelatih wanita berkenaan menderita cirit-birit selepas menerima hukuman tersebut dan tidak berselera makan.

Hukuman kejam itu terungkap selepas video tersebar dengan luas di China.

Perakam video tersebut sudah ditangkap dan ditahan empat hari oleh polis setempat untuk siasatan.

Video tersebut sengaja dimuat naik ke kumpulan WeChat pekerja sebelum dibocorkan sehingga viral.

Bagaimanapun, pengurus di syarikat studio foto tersebut mendakwa, klip video berkenaan bukanlah kejadian yang berlaku atau dirakamkan di syarikat itu.

Pengurus tersebut mendakwa, klip tersebut hanya disebarkan di kumpulan media sosial staf syarikat berkenaan sebagai cara “memotivasi” staf untuk bersemangat bekerja. – Sarawakvoice