Keperitan hidup ibu tunggal berubah selepas mendapat Rumah Mesra Rakyat

JELEBU: Keperitan hidup seorang ibu tunggal di Kampung Chennah dekat sini berubah apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) meluluskan permohonan bagi mendapatkan Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M).

Raimah Masron, 50, yang hanya bekerja sebagai tukang cuci pejabat dengan purata gaji minimum RM1,000 sebulan berjaya menerima rumah tersebut yang sudah didiami bersama lima anaknya sejak lima tahun lalu.

Ketika ditemui eRakyat di rumahnya, Raimah menceritakan, proses permohonan untuk membina kediamannya itu mendapat kelulusan yang agak pantas dengan hanya mengambil masa beberapa bulan untuk proses pembinaan. Katanya, dia telah mendiami rumah itu sejak awal 2012 dan rumah itu siap dibina setahun sebelumnya.

Cuma apa yang mampu saya lakukan hanya memberi ucapan kata terima kasih kepada kerajaan

Ujarnya, pada peringkat awal dia telah membuat permohonan bagi mendapatkan rumah berkenaan di Pejabat UMNO Bahagian Klawang menerusi proses yang sangat mudah. Jelasnya, sejak kematian suami pada 2011, dia bersama anak-anaknya terpaksa menjalani kehidupan yang sukar ekoran kemiskinan.

Meskipun memiliki sebidang tanah peninggalan suaminya sebelum ini di kampung itu namun, teratak yang didiami itu tidak mampu memberi kehidupan selesa kepada keluarganya.

“Rumah saya sudah buruk, dinding dan atap juga banyak yang bocor. Tapi saya terpaksa tinggal di rumah itu walaupun tak selesa.

“Saya ini orang susah dan terpaksa membesarkan anak seramai lima orang secara bersendirian. “Kami sangat bersyukur kerana ada pihak yang prihatin mahu membantu membina tempat tinggal untuk saya dan anak-anak berteduh.

Raimah bergambar dihadapan rumahnya yang merupakan Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia di Kampung Chennah, Jelebu, Negeri Sembilan.

“Saya tak tahu dengan cara apa boleh membalasnya. Cuma apa yang mampu saya lakukan hanya memberi ucapan kata terima kasih kepada kerajaan yang telah banyak membantu,” katanya dalam nada sebak.

Raimah berkata, bayaran sebanyak RM150 sebulan untuk rumah yang didiami itu tidak menjadi beban kepadanya untuk dibayar dan kos keseluruhan pembinaan rumahnya yang menelan belanja RM45,000 sememangnya cukup murah berbanding sekiranya dia mahu berhempas pulas mencari untuk membina rumah sendiri.

Katanya, bantuan yang disalurkan oleh kerajaan kepadanya melalui skim perumahan RMR1M itu telah mengukir senyuman kepadanya sekeluarga dan berharap agar ia dapat diteruskan kepada golongan yang senasib dengannya.