Sesiapa yang mengkaji politik Malaysia akan bertemu dengan realiti bahawa secara berterusan, PM dan TPM tidak sehaluan pendapat dan ada ketikanya berkelahi secara terbuka.

Perkelahian paling epik melibatkan PM dan TPM berlaku antara Dr. Mahathir dan timbalannya Anwar Ibrahim pada September 1998 dan yang paling baru melibatkan Najib dan Muhyiddin Yassin pada Julai 2015.

Pada tahun tersebut, Muhyiddin Yassin selaku TPM dipecat oleh Najib dengan alasan yang hanya beliau sendiri tahu. Kebelakangan  ini banyak pihak tertanya-tanya adakah Datuk Seri Najib Tun Razak kini sedang berkelahi dengan timbalan beliau iaitu Datuk Seri Zahid Hj Ahmad Hamidi?

Persoalan ini timbul kerana kenyataan dan pendapat yang dilontarkan kepada umum oleh kedua-dua pemimpin ini terlalu kontradik. Dalam isu India Muslim misalnya, kedua-dua pemimpin ini menghantar isyarat yang menunjukkan mereka tidak lagi sehaluan dan mungkin di ambang perkelahian.

Pada 18 Julai 2017, sewaktu menghadiri Majlis Makan Malam Perdana NGO-NGO India Muslim SeMalaysia, Datuk Seri Najib menyebut bahawa mamak ‘…pada hakikatnya adalah Bumiputera. Tetapi kajian lebih lanjut perlu dilakukan sebelum perkara ini diterima secara rasmi’.

Perkara ini bukan pertama kali disebut oleh Najib. Semasa Perhimpunan Agong UMNO tahun 2010, Najib menyatakan bahawa ‘masyarakat India Muslim, Malabari, Pakistan, Arab, Bugis adalah Bumiputera dan sebahagian daripada Rumpun Melayu’.

Zahid mungkin tidak bersetuju dengan pendirian ketuanya tetapi beliau tidak memilih untuk tidak bercakap mengenai subjek yang sama kerana perbuatan itu boleh mencetuskan konflik secara terbuka.

Sebaliknya, keturunan Tun Mahathir Mohamad menjadi subjek utama kepada Zahid dan ini dapat diperhatikan dalam ucapan beliau di Subang pada Ahad 31 Julai 2017.

Tun Mahathir, mengikut Zahid adalah India Muslim dan di kad pengenalan asalnya tertulis perkataan ‘anak lelaki’ atau a/l Iskandar Kutty. Apa isyarat yang Zahid mahu sampaikan menerusi kenyataan seumpama ini?

Ada yang mendakwa Zahid seorang yang rasis dengan mainkan isu tersebut. Kita tahu bahawa Tunku Abdul Rahman berketurunan Siam di sebelah ibunya, Datuk Onn Jaafar sendiri yang menjadi pengasas UMNO diketahui umum berketurunan Turki. Tetapi kenapa keturunan Tunku dan Onn Jaafar tidak pernah menjadi isu?

Kenapa keturunan India Muslim dipilih oleh Zahid untuk dijadikan isu? Dalam sosio budaya Melayu Melayu, India Muslim atau Mamak digambarkan sebagai orang yang tidak boleh dipercayai dan keji.

Zahid menyerang  Tun Mahathir yang mempunyai sikap keji (dahulunya menggunakan UMNO untuk berkuasa tetapi  kini bersama DAP mengutuk UMNO apabila yang dihajati tidak diperolehi) dan  menjustifikasikan tindakan tersebut dengan mereka yang berketurunan mamak.

Kenyataan Zahid tersebut, walaupun ditujukan kepada Tun Mahathir, tetapi generalisasi berunsur stereo type etnik itu tentunya mengguris perasaan hampir sejuta lebih warga Malaysia yang berketurunan Mamak.

Tun Mahathir boleh diserang dengan pelbagai cara, tetapi Zahid memilih untuk mengangkat dengan soal keturunan. Jadi adakah salah sekiranya ada pihak yang menganggap tindakan Zahid itu seperti ‘pukul anak sindir menantu’.

Dari sudut mana pun isu ini dilihat, PM dan TPM telah menghantar isyarat yang sangat kontradik. – Sarawakvoice