Dua juta orang Melayu terdapat di Thailand

BANGKOK: Terdapat dua juta orang Melayu di lima wilayah di Thailand iaitu Pattani, Yala, Narathiwat, Songkhla dan Satun.

Menurut seorang juruhebah radio Bahasa Melayu di selatan Thailand, Tuan Danial yang ditemui Sarawakvoice, namun masih ada orang Melayu di pesisiran pantai seperti di wikayah Trang, Krabi, Phuket, dan Pangga.

Menurutnya mereka ini berasal dari Kedah ketika peperangan antara Siam-Kedah awal abad ke-19.

Ujarnya, terdapat juga orang Melayu di kota Bangkok seperti Pratumthani, Nontaburi dan Ayuttahaya.

Thailand mempunyai 76 juta penduduk terdiri daripada lebih 15 etnik termasuk Melayu.

Mereka ini merupakan tahanan dan hamba perang yang dibawa dari Pattani ketika perang Pattani-Siam pada 1786.

“Kebanyakan mereka masih dapat bertutur dalam bahasa Melayu,” katanya.

Mengulas tentang penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda di tiga wilayah Selatan, Tuan Danial yang juga wakil TV3 di Thailand berkata, keadaannya adalah kritikal.

“Generasi muda Melayu tidak suka dan tidak menguasai bahasa Melayu kerana mereka lebih didominasi bahasa Thai. Semua media guna bahasa Thai dan sistem pendidikan guna bahasa Thai walaupun ada mata pelajaran bahasa Melayu di sekolah menengah dan sebahagian universiti,” ujarnya.

Kalaupun mereka menggunakan bahasa Melayu di media sosial, mereka campur aduk dengan bahasa Thai, katanya.

“Harap bahasa Melayu dapat dikembangkan dan diperkasakan melalui usaha meningkatkan kesedaran dalam generasi baharu tentang kepentingan bahasa Melayu di rantau ini,” jelasnya.

Tuan Danial yang fasih bahasa Melayu dan pernah belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia pada peringkat sarjana kini turut menyumbang tulisannya dalam bahasa Melayu untuk Aman News Agency dan Deep South Watch di Thailand.

Beliau berharap institusi pendidikan di Selatan Thailand dapat membantu menyemai benih cinta generasi muda terhadap bahasa Melayu. – Sarawakvoice

Foto Muhmmad Amin