KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak hari ini mengesahkan sebanyak 41 kes gigitan haiwan baharu dilaporkan pada hari ini di negeri ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Bahagian Serian mencatatkan sebanyak 13 kes gigitan, Bahagian Sri Aman 4 kes gigitan, Bahagian Kuching 22 kes gigitan dan Bahagian Samarahan 2 kes gigitan.

“Ini menjadikan bilangan kes kumulatif gigitan anjing yang berlaku mulai 1 April lalu hingga ke hari ini berjumlah 1,383 kes.

Secara kumulatif, seramai 758 orang telah menerima suntikan vaksin anti-Rabies.

Kata kenyataan itu lagi, pada hari ini Program Pemvaksinan Anjing bagi mengawal penularan wabak Rabies telah diadakan di Kampung Gumbang, Kampung Padang Pan, Bau, Kampung Stubot, Kampung Sidunuk, Kampung Simeru, Kampung Annah Rais, Kampung Sadir, Kampung Semuti, Kampung Sebuang, Padawan dan TH Plantation, Gedong.

Setakat ini, sebanyak 24,303 ekor haiwan peliharaan telah divaksin yang terdiri daripada 16,663 ekor anjing, 7,595 ekor kucing dan 45 ekor haiwan lain.

JPVS juga setakat ini, telah mengadakan sebanyak 144 kempen kesedaran mengenai wabak penyakit Rabies di kampung-kampung dan sekolah di kawasan terlibat yang dihadiri oleh 28,739 peserta.

JPVS bersama-samq Majlis Berkuasa Tempatan yang diketuai Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak akan menerus aktiviti pengawalan anjing dan kucing terbiar sebagai langkah mengawal penularan wabak tersebut.

Persampelan untuk penyakit tersebut juga akan dipergiat untuk mengesan tahap penyebarannya.

Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak memohon orang ramai yang mempunyai sejarah gigitan anjing dalam tempoh 1 April hingga kini, untuk segera membuat pemeriksaan di mana-mana fasiliti kesihatan yang terdekat. – Sarawakvoice