Tolak RM1 hasil cukai pelancongan, Sarawak Sabah akan kemuka memorandum — Abang Jo

KUCHING: Meski kuasa percukaian termasuk dalam senarai Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sarawak mengambil tindakan tegas menolak tawaran 10 peratus hasil cukai pelancongan ke negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan yang dibuat oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan itu sesuatu yang mengejutkan.

“Ia bukan seperti yang kita bincang dan persetujui dengan Kerajaan Pusat sebelum ini,” katanya merujuk RM1 daripada RM10 jumlah kutipan dikembalikan kepada Kerajaan Negeri.

Keputusan dan ketegasan Abang Johari itu jelas satu tamparan hebat kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz yang sebelum ini pernah menghina Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sebagai setahun jagung dan samseng, susulan tindakannya mengkritik cukai tersebut.

Cukai tersebut yang mula dilaksanakan hari ini, mengenakan kadar rata RM10 untuk setiap pelancong asing yang tinggal di semua jenis hotel dan akomodasi di negara ini.

“Kita akan berunding dengan Putrajaya sekali lagi.

“Ia tidak sepatutnya RM1. Sarawak dan Sabah akan menghantar memorandum bersama kepada Putrajaya untuk memohon agar hasil cukai tersebut dibahagi rata,” tegasnya ketika ditemui media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Pendidikan Khas Kedua di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK) di sini petang semalam. — Sarawakvoice