KUALA LUMPUR:   Berdasarkan perbincangan pihak kerajaan dengan pelbagai pihak mengenai   Transformasi Nasional 2050 (TN50) setakat ini, gambaran wajah baharu negara  yang didambakan rakyat, terutamanya generasi muda  ialah kehidupan yang baik, peluang kerja yang mencukupi, pendapatan rakyat yang tinggi, kualiti hidup setaraf dengan negara maju, tiada lagi gelandangan dan negara bebas rokok.

Menurut  Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan TN50 sebagai visi baharu negara pada Oktober 2016, semasa membentangkan Bajet 2017 dengan tujuan menjadikan Malaysia berada pada kedudukan 20 tangga teratas dunia dari segi pendapatan per kapita rakyat dan sebagai negara maju dengan identiti bangsa Malaysia.

Ujarnya, TN50 ialah hadiah pemimpin untuk generasi akan datang.

“TN50 ini ialah hadiah pemimpin untuk generasi 2050. Jadi anak muda seharusnya mengambil peluang daripada dasar kerajaan ini untuk mencorakkan wajah baharu Malaysia mulai sekarang,”  katanya  dalam satu posting di laman blog beliau sskeruak.blogspot.my, hari ini.

“Bersama-sama kita menyumbang untuk negara. Masa depan kita bermula dari sekarang, bukannya esok. Yakinilah 2050 sudah berjalan hari ini,” tambahnya.

Perbincangan kerajaan mengenai TN50, katanya, telah melibatkan pelbagai sektor masyarakat seperti pelajar, pensyarah, aktivis masyarakat, penjawat awam dan ahli korporat bagi menjana idea dan buah fikiran mereka. – Sarawakvoice