KUCHING: Program Pemvaksinan Anjing bagi mengawal penularan wabak Rabies telah diadakan di kawasan Kampung Tesu, Kampung Resu Mawang, Kampung Mongkos di Serian, dan Kampung Duyoh di Bau.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, secara keseluruhan, operasi pemvaksinan telah dilakukan terhadap 129 ekor anjing.

Ini menjadikan jumlah haiwan peliharaan yang telah divaksin setakat hari ini adalah sebanyak 23,995 ekor; yang terdiri daripada 16,355 ekor anjing, 7,595 ekor kucing dan 45 ekor haiwan lain.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) setakat ini, telah mengadakan sebanyak 142 kempen kesedaran mengenai wabak penyakit Rabies di kampung-kampung dan sekolah di kawasan terlibat; yang dihadiri oleh 28,657 peserta.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) memaklumkan bahawa sebanyak 87 kes gigitan baru dilaporkan pada hari ini.

Kes tersebut dilaporkan di Bahagian Serian sebanyak 63 kes gigitan, Bahagian Sri Aman 4 kes gigitan, Bahagian Kuching 19 kes gigitan dan Bahagian Samarahan 1 kes gigitan.

Ini menjadikan bilangan kes kumulatif gigitan anjing yang berlaku mulai 1 April hingga ke hari ini, berjumlah 1,342 kes.

Pada hari ini, seramai 35 telah menerima suntikan anti-Rabies, menjadikan keseluruhannya sebanyak 749 orang. – Sarawakvoice