Gagal selenggara jalan: Kerajaan Selangor nafi dakwaan Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor berkata berdasarkan rekod dan statistik kerajaan negeri telah merancang dan melaksanakan gerak kerja penyelenggaraan jalan negeri dengan amat baik dan kesemua proses adalah mematuhi tatacara perolehan dan kewangan semasa.

Justeru Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri berharap Kerajaan Persekutuan dapat mencontohi komitmen dan prestasi Kerajaan Negeri dalam penyelenggaraan Jalan Persekutuan di  Selangor.

Apatah lagi, kata Zaidy Abdul Talib, mengambil kira terdapat jalan tersebut yang memberi impak tinggi kepada kemajuan ekonomi Negeri Selangor.

Justeru, beliau menolak dakwaan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan kerajaan negeri gagal menyelenggara jalan-jalan melalui peruntukan Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Negeri (Marris).

Ujarnya, kesemua wang pemberian penyelenggaraan melalui Marris yang diterima oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah diperakaunkan ke dalam Tabung Amanah Penyelenggaraan Jalan Negeri.

Katanya, perbelanjaan dana ini adalah tertakluk  kepada Arahan Amanah (Trust Deeds) tabung tersebut dan Garis Panduan Tatacara Pengurusan Marris yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF).

“Dakwaan itu adalah tidak benar, sejumlah RM600 juta telah diluluskan sebagai Siling Perbelanjaan Marris pada tahun 2017 bagi kesemua agensi pelaksana yang terdiri daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Jabatan Pengairan & Saliran (JPS) Selangor, dua belas (12) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sembilan (9) Pejabat Daerah/Tanah (PDT).

Jumlah siling tersebut adalah melebihi jumlah pemberian yang dijangka dari Kerajaan Persekutuan pada tahun 2017,” katanya dalam satu kenyataan bagi menangkis dakwaan Ahmad Zahid.

“Perbezaan jumlah terimaan dengan sasaran perbelanjaan tersebut akan ditampung menerusi baki terkumpul tabung Amanah Marris Negeri Selangor hasil penjimatan proses perolehan secara terbuka dan berintegriti,” katanya lagi.

“Setakat 31 Julai 2017, sejumlah RM268,114,178.59 atau 44.69% daripada siling tahun semasa telah pun disalurkan  oleh Perbendaharaan Negeri Selangor kepada agensi pelaksana khusus bagi kerja-kerja yang telah dilantik kontraktor dan sedia untuk proses pembayaran akhir sebaik sahaja kerja fizikal di tapak disempurnakan,” tambahnya.

Pencapaian ini, kata Zaidy dijangka terus meningkat memandangkan terdapat tuntutan berjumlah RM198,062,387.60 yang sedang dalam proses dan semakan akhir di peringkat Perbendaharaan Negeri sebelum peruntukan disalurkan.

“Dengan mengambil kira data ini, komitmen perbelanjaan Marris Kerajaan Negeri setakat 31 Julai 2017 adalah berjumlah RM466,176,566.19 atau 76.40%. Jika diteliti, rekod tersebut adalah jauh lebih baik berbanding prestasi perbelanjaan Marris pada tahun 2006 dan 2007 sewaktu dibawah Kerajaan Barisan Nasional.

“Rekod mendapati, Kerajaan Negeri Selangor menerima pemberian Marris berjumlah RM174.1 juta dan RM252.6 juta masing-masing pada tahun 2006 dan 2007,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, tegasnya, perbelanjaan yang direkodkan pada kedua-dua tahun tersebut adalah berjumlah RM27.5 juta (15.8%) pada tahun 2006 dan RM139.04 juta (55.05%) pada tahun 2007 dari jumlah pemberian yang diterima. – Sarawakvoice