Surat anak kepada bos ayah: Orang tidak bercuti pada musim panas adalah orang bodoh

BEIJING: Budak lelaki bernama Yang Lele sangat iri hati apabila melihatnya rakan lainnya dapat pergi makan angin pada musim cuti sekolah.

Sedangkan dia dan ayahnya tidak dapat bercuti di luar kerana ayahnya sukar mendapat cuti daripada bosnya di syarikat industri teknologi maklumat (IT) pada waktu tersebut.

Tidak putus asa, tetapi berasa iri hati melihat rakannya yang lain termasuk rakan bernama Xiaoming berpeluang keluar bercuti bersama keluarga pada musim cuti sekolah, Lele menulis surat untuk ditujukan kepada bos ayahnya.

Melalui surat tersebut, Lele, 8, menulis kepada majikan di tempat kerja itu supaya memberi ayahnya cuti beberapa hari agar ayahnya dapat membawa dia makan angin di luar.

Lele turut menulis bahawa rakannya Xiaoming sudah pun keluar bercuti bersama keluarganya dan dia mahu melakukan perkara sama seperti Xiaoming.

Bahkan, mengejutkan Lele turut memetik kata-kata Xiaoming bahawa: “Orang yang tidak bercuti di luar pada musim cuti sekolah (musim panas) merupakan orang bodoh”.

Menurut Okezone pada 27 Julai lepas yang memetik The Star daripada Red Star News, surat Lele itu kemudian tersebar luas di akaun Weibo milik Charlie Young, ayah Lele.

“Saya sebelumnya berjanji membawa anak saya bercuti musim panas ini, namun saya belum dapat menepati kata-kata saya kerana sibuk dengan kerja,” tulis Charlie di Weibo.

“Tidak terfikir saya dia akan menulis surat tersebut dan meminta saya menyerahkannya kepada bos saya.

“Jadi, adakah saya perlu menyerahkan surat ini, atau tidak?” tanya Charlie.

Charlie akhirnya tidak menyerahkan surat itu kepada majikannya, tetapi memutuskan mencari waktu sesuai agar dapat bercuti bersama anaknya, sebelum cuti musim panas berakhir.

Red Star News melaporkan foto surat Lele dikongsi lebih 13,000 kali sehingga 26 Julai lepas.

Seorang pengguna Weibo memberi komen ke atas surat tersebut: “Saya harap bos dia dapat memberikan cuti supaya ayah dapat mengajak anaknya keluar bercuti. Jangan biarkan pekerjaan jadi alasan sehingga anda lupa menghabiskan waktu bersama orang tercinta.” – Sarawakvoice