PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, 3.77 juta warganegara berusia 21 tahun, layak mengundi belum mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat 31 Mac lalu.

Dalam jawapan bertulis pada sidang Dewan Rakyat pada Isnin Azalina berkata, “Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa kelayakan untuk mendaftar sebagai pemilih ialah pemohon merupakan seorang warganegara yang telah mencapai umur 21 tahun pada tarikh kelayakan dan bermastautin dalam mana-mana bahagian pilihan raya di Malaysia.”

“Selain itu, bagi tempoh pendaftaran Januari hingga Mac 2017, sebanyak 1,454 bantahan diterima SPR,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini memetik laporan FMT.

Azalina  menjawab soalan Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto bagi pihak perdana menteri.

Ahli Parlimen DAP itu ingin tahu jumlah pengundi tidak berdaftar mengikut bangsa dan sama ada pemegang kad pengenalan sementara dibenarkan mengundi.

Azalina dalam jawapannya turut mengaku pemilik kad pengenalan sementara tidak dibenarkan mengundi.

“Mana-mana pemegang dokumen pengenalan diri tersebut bukan merupakan warganegara,” ujar Azalina. – Sarawakvoice