Provokasi terbaru Korea Utara, akui peluru berpandunya mampu jangkau seluruh Amerika

SEOUL: Pemimpin Korea Utara Kim Jong-un tampil dengan provokasi terbaru, bahawa kejayaan ujian peluru berpandunya menunjukkan senjata itu mampu menjangkau seluruh wilayah Amerika Syarikat.

Baru-baru ini, Korea Utara melancarkan ujian terbaru peluru berpandu balistik antara benua yang digambarkan sebagai “peringatan tegas” buat AS.

Ujian peluru berpandu antara benua itu dilakukan tiga minggu selepas ujian peluru berpandu ICBM pertama Korea Utara.

Sementara, Presiden AS Donald Trump menyifatkan tindakan terbaru rejim Korea Utara itu sebagai “sembarangan dan berbahaya.”

Korea Utara mendakwa peluru berpandu ICBM mampu terbang lebih 47 minit dan mencapai ketinggian 3,724 kilometer.

Pejabat berita kerajaan Korea Utara, KCN melaporkan bahawa Jong-un bangga dengan ujian roket Hwasong-14, model yang sama yang diuji 3 Julai lepas mampu menjangkau seluruh wilayah AS.

Korea Utara sebelum ini berulang kali menjalankan ujian peluru berpandu yang melanggar resolusi PBB.

Pentagon mengesan ujian yang dijalankan Korea Utara pada 11:41 malam waktu setempat.

Tidak jelas, mengapa kali ini Korea Utara melancarkan ujian berkenaan pada malam hari.

Meskipun ujian peluru berpandu Korea Utara terus berlangsung, namun pakar yakin negara tersebut belum memiliki kemampuan memasang peledak nuklear pada peluru berpandu jarak jauh hingga mampu mencapai sasaran dengan tepat.

Namun, ada yang percaya lambat-laun dalam tempoh lima hingga 10 tahun, Pyongyang berjaya mengembangkan senjata nuklear sehingga mampu menyerang AS. – Sarawakvoice