Lelaki ditahan kerana tertembak rakan ketika berburu di Bau

BAU: Seorang anggota tentera berpangkat Koperal nyaris maut, apabila ditembak rakan sekampung ketika sedang berburu di hutan Kampung Stenggang dekat sini sekitar jam 9 malam, pada Jumaat.

Dalam insiden tersebut, suspek yang berusia 43 tahun dan anak saudaranya sedang berburu di kawasan kebun di Jalan Pinungan dekat sini sebelum ternampak cahaya sepasang mata dalam suasana gelap.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Mohd Sabri Zainol berkata, suspek kemudian menenang senjatanya sebelum melepaskan tembakan ke arah mata tersebut, yang disangkakan haiwan buruan dari jarak 80 meter.

“Sejurus tembakan dilepaskan, suspek terdengar suara orang menjerit.

“Mereka terus berkejar ke tempat sasar dan mendapati mangsa dalam keadaan duduk sambil mengerang kesakitan.

Kata Mohd Sabri, suspek yang mengenali mangsa kemudian membantunya keluar ke jalan besar yang berjarak satu kilometer, sebelum mengejarnya ke Hospital Bau.

Mangsa yang cedera kemudian dikenal pasti sebagai Andy Jemon, anggota tentera berpangkat Koperal dari Kem Penrissen di sini.

“Mangsa mengalami luka akibat serpihan peluru pada bahagian dada, paha, lengan kanan dan tepi kening sebelah kiri.

“Keadaannya dilaporkan stabil dan telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak untuk mengeluarkan serpihan peluru yang terbenam di dalam badan.

Suspek kata Mohd Sabri lagi, yang juga seorang juruteknik kilang kemudian ditahan polis selepas membuat laporan di Balai Polis Bau sekitar jam 1.01 pagi.

“Dia kemudian menjalani perintah reman dan disiasat di bawah Seksyen 37, Akta Senjata 1960 kerana menyebabkan kecederaan dengan sepucuk senjata tanpa alasan yang sah.

Polis turut merampas selaras senapang patah, sebutir kelongsong peluru kosong dan lesen memiliki dan menggunakan senjata. – Sarawakvoice