KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) masih berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi menambah baik pelaksanaan penetapan harga petrol dan diesel yang dilaksanakan ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perbincangan itu dilakukan setelah mendapat maklum balas pelbagai pihak berkepentingan, termasuk syarikat pengeluar minyak pada 20 Jun lalu dan pengusaha stesen minyak pada 6 Julai lepas.

“Kementerian masih berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi mengambil kira segala faktor sebelum dapat melaksanakan strategi baharu ini,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Sarikei, Wong Ling Biu yang ingin tahu masalah pelaksanaan harga petrol dan diesel secara terapung setiap minggu pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Hamzah berkata, pelaksanaan strategi baharu penetapan harga itu akan mengambil kira kepentingan semua pihak, termasuk kemampuan pengguna untuk membayar harga tersebut.

Mengenai aduan pengusaha stesen minyak mengalami kerugian berikutan penetapan harga mingguan sekarang, beliau berkata, kerajaan melaksanakan inisiatif untuk memastikan kerugian yang dialami masih boleh diterima.

Antaranya termasuk menggalakkan pengusaha menyediakan kemudahan kedai runcit di stesen minyak untuk membantu menjana pendapatan tambahan serta menjalankan program promosi di stesen minyak bagi menarik lebih ramai pelanggan ke kedai runcit tersebut.

Hamzah berkata, trend kenaikan harga minyak dunia sejak beberapa minggu kebelakangan ini diharap dapat membantu mengurangkan kerugian pengusaha stesen minyak sehingga strategi baharu diumumkan kelak.