61 gigitan anjing setakat semalam, beberapa lokasi dikenal pasti bersih dari Rabies

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak hingga semalam telah merekodkan sebanyak 61 kes gigitan baru anjing di seluruh negeri.

Daripada jumlah tersebut, Bahagian Serian mencatatkan sebanyak 19 kes gigitan, Bahagian Sri Aman 21 kes gigitan, dan Bahagian Kuching 21 kes gigitan.

“Ini menjadikan bilangan kes kumulatif gigitan anjing yang berlaku mulai
1 April lalu hingga ke hari ini, sekitar 1,221 kes.

“Secara kumulatif, seramai 691 orang telah menerima suntikan vaksin anti-Rabies,” kata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan sebentar lagi.

Menurut kenyataan itu lagi, beberapa kawasan di bandar raya ini juga didapati bebas daripada wabak Rabies, hasil ujian tisu pada sampel yang didapati negatif.

Antara lokasi tersebut termasuklah Bandar Baru Semariang, Kampung Atas Singai, Kampung Mundai (Padawan), Kampung Rantau Panjang (Batu Kawa), Uni Garden (Kuching Outer Ring Road), Kampung Peninjau Baru, Semariang Aman, Family Park, Xafa Villa (Jalan Fock Fun) dan Kampung Segedup (Batu Kawa).

Kerajaan Negeri Sarawak sebelum ini mengisytiharkan 22 lokasi di beberapa Bahagian di negeri ini sebagai kawasan wabak Rabies, dan dengan kuasa-kuasa yang telah diperuntukkan di bawah Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999, maka Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak telah membenarkan pembelian  vaksin Rabies yang diiktiraf oleh World Organization for Animal Health (OIE) dari  luar Sarawak, oleh pengamal veterinar swasta yang sah.

Pada hari ini, kata kenyataan itu, Program Pemvaksinan Anjing bagi
mengawal penularan wabak ini telah diadakan di Kawasan Kampung Semeba, dan Kampung Rayang, Serian.

“Secara keseluruhannya, pemvaksinan telah dilakukan terhadap 129 ekor anjing yang menjadikan jumlah haiwan  peliharaan yang telah divaksin sehingga hari ini adalah 22,584 ekor haiwan.

Ia terdiri daripada 14,944 ekor anjing, 7,595 ekor kucing dan 45 ekor haiwan  lain. – Sarawakvoice