Sengsara itu tahun ini, tahun depan kita lebih bersedia — Presiden FAS

KUCHING: Insya-Allah, kemelut pasukan akan berakhir pada tahun hadapan, janji
Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais malam tadi.

Beliau membayangkan perubahan pasukan ke arah yang lebih mantap setelah bergelut dalam situasi suram musim ini.

“Saya sudah lapan bulan memimpin FAS, dan meraih sedikit pengalaman untuk dibawa pada tahun hadapan.

“Bermakna pada tahun hadapan akan bermula fasa untuk memperbaiki kelemahan dan meningkatkan prestasi pasukan,” katanya yang ditemui sejurus tamat aksi pertemuan Sarawak dan Johor Darul Takzim di Stadium Negeri di Kuching.

Posa mengakui pada musim ini, tangannya agak terikat oleh perjanjian yang dilakukan oleh pengurusan yang lama.

“Kita tunggu habis musim. Sekarang kita tidak dapat berbuat apa-apa kerana ada pemain terikat dengan kontrak sehingga dua tahun.

“Selepas itu baharu kita atur balik. Ada pemain yang merupakan pemain lama. Kita tidak boleh singkirkan begitu sahaja kerana sebelum ini pun kita banyak berhabis membayar pampasan.

“Dana terus kecut untuk selesaikan masalah ini.

Katanya, harapan utamanya kini ialah pasukan itu kekal dalam Liga Super.

“Tiga aksi terakhir ini … Sarawak tidak ada pilihan.Mesti menang,” tambahnya.

Jelasnya, pada akhir musim kelak, beliau berharap akan dapat memperbaiki pasukan, sebagai persediaan untuk menghadapi musim hadapan.

“Ini pengajaran berguna kepada FAS agar tidak mengikat pemain terlalu lama.

“Sebelum ini, suku daripada dana adalah untuk membayar ganti rugi pampasan.

“Kerana itu kita tidak dapat memilih pemain yang betul-betul bagus dan gred A.

Sarawak katanya, memerlukan sekurang-kurangnya RM15 juta untuk pengurusan pasukan.

“Dalam kancah Liga Super, pasukan kita adalah paling rendah peruntukannya.

“Meskipun bajet yang ada agak kecil, kita sebenarnya dibebani kos perbelanjaan paling besar kerana perlu membiayai pengangkutan dan lojistik.

Ketika ini katanya, Sarawak hanya ada empat penaja termasuk Kerajaan Negeri, dan selebihnya, beliau terpaksa berikhtiar sendiri.

“Dan setakat hari ini kita telah berbelanja lebih RM9 juta.

“Jika masih ada kekurangan, saya akan pikul tanggungjawab itu. Saya tidak akan undur demi Sarawak.

“Hanya saya berpuas hati, walaupun berbelanja kecil, kita tidak dibebanibhutang kiri dan kanan,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice