Sarawak-Kalimantan bersatu hati tangani, basmi wabak rabies

SARAWAK menjalin kerjasama dengan jiran Kalimantan, Indonesia di sempadan dalam usaha menangani wabak rabies di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, kerjasama itu meliputi perkongsian maklumat berkaitan penyakit rabies di Sarawak dan Kalimantan.

Zon penampan di sempadan negara turut dibentuk dengan harapan dapat mengekang penularan rabies ke kawasan lain selepas Siburan diletakkan dalam kawasan jangkitan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengadakan mesyuarat dengan Konsulat Jeneral Republik Indonesia Jahar Gultom.

Menurut Uggah, rekod menunjukkan banyak kawasan yang dijangkiti rabies terletak di sepanjang sempadan negara.

Kerajaan mengeluarkan peruntukan tambahan RM500,000 bagi membeli peralatan dan vaksin untuk petugas terlibat dalam kempen pencegahan rabies termasuk pemvaksinan wabak rabies.

Kerajaan Pusat melalui Kementerian Kesihatan meluluskan peruntukan hampir RM2.5 juta bagi pembelian vaksin.

Sementara itu, JKN Sarawak mula melakukan aktiviti kawalan dan pencegahan di Sri Aman.

Indonesia memberi jaminan memberi kerjasama sepenuhnya dengan kerajaan Sarawak dalam usaha menangani wabak rabies.

Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Jahar Gultom berkata, kedua-dua pihak iaitu Indonesia dan Sarawak membuat keputusan bekerjasama dan kedua-dua juga berkomunikasi dengan baik dari Kalimantan Barat ke Kuching (Sarawak).

“Kami membuat keputusan untuk bekerjasama dan kedua-dua juga telah berkomunikasi dengan baik dari Kalimantan Barat ke Kuching (Sarawak) dan setakat ini, kerjasama terjalin berjalan lancar,” kata Jahar.

Jahar turut mendedahkan sejak Mei tahun ini sehingga sekarang, dilaporkan 12 rakyat Kalimantan meninggal dunia akibat wabak rabies.

Katanya lagi, kerajaan pusat di Jakarta juga telah memperuntuk sejumlah Rp.700 juta atau lebih RM200,000 kepada Kalimantan Barat untuk vaksinasi.

Rabies Ragut Lima Nyawa di Sarawak

Rekod mutakhir rabies di Sarawak meragut lima nyawa terdiri daripada Monica Mazlan, 6, Jackson Mazlan, 4, Alicesa Lorena Nody, 7, Florencesia Edward, 5 dan mangsa terakhir Tinding Lambang, 52.

Sementara menurut Bernama, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak menerima laporan 56 kes berkaitan gigitan anjing yang terdiri daripada 14 kes di Serian, 38 kes di Kuching, dan masing-masing dua kes di Sri Aman dan Samarahan.

Sekretariat JBNS dalam kenyataan hari berkata bilangan kumulatif kes gigitan anjing yang dikesan di kawasan berkenaan sejak 1 April berjumlah 1,016 kes.

Sehingga kini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) mengadakan 121 kempen kesedaran berkaitan wabak rabies di kampung dan sekolah terlibat dihadiri 25,682 peserta.

Rabies Menular Tinggi di Sempadan Kalimantan-Sarawak

Di Kalimantan, akhbar Harian Rakyat Kalbar 21 Julai lepas melaporkan, antara daerah tertinggi gigitan anjing dilaporkan ialah Sanggau terletak berhampiran Sarawak.

Di Sanggau, dilaporkan lapan meninggal dunia daripada 423 kes mangsa positif rabies.

Harian Rakyat turut melaporkan Lalu Sintang mencatatkan 219 kes dengan tiga mangsa meninggal dunia.

Di Kapuas Hulu 104 kes direkodkan.

Setakat 11 Julai sejak tersebar di beberapa kawasan di Kalimantan Barat, 13 rabies meragut 13 nyawa.

Sementara itu, Metrotvnews.com melaporkan Bahagian Peternakan dan Hewan Kalbar Abdul Manaf berkata, 11 wilayah di Kalimantan Barat bersempadan dengan Sarawak terjejas rabies.

Setakat 10 Julai lepas, 873 anjing disuntik vaksin.

Menelusuri sejarah rabies di Kalimantan, memetik eQuador.co.id, rabies sudah tertular di Kalimantan sejak 2005.

Bagaimanapun, wabak rabies berjaya dikendalikan sembilan tahun iaitu pada 2014.

Bahagian Pencegahan dan Pemberantasan Penyakit Hewan (P3H) Direktorat Kesihatan Haiwan Kementerian Pertanian, Drh. Mardiatmi berkata serangan wabak rabies di Kalimantan Barat ini merupakan pengulangan kes.

Mardiatmi dipetik berkata, “Kalbar sudah tidak bebas lagi. Waktu itu berharap 2014 diberikan waktu enam bulan bisa dikendalikan, ternyata tidak dapat.”

Pada 2014, terdapat 117 kes disyaki rabies akibat gigitan anjing di Daerah Teriak dan Daerah Bengkayang 2 kes.

Anjing, kucing termasuk kera dipantau dan divaksinasi melibatkan 14 daerah Kalimantan Barat.

Rabies Dikhuatiri Mendekati Pontianak

Tribunepontianak pada 20 Jun lepas melaporkan rabies dikhuatiri mendekati Pontianak.

Sejarah 2016, terdapat kes gigitan anjing berlaku di Kota Pontianak, tetapi ia dijangka tiada kaitan dengan rabies dan Pontianak masih bebas rabies sehingga Jun lepas.

eQuator.co.id pada 5 Ogos 2016 melaporkan, serangan rabies dan jumlah kes gigitan anjing gila berkurangan. – Sarawakvoice