Salah faham punca tiga sekeluarga ditembak tentera Thai

PATTANI: Tiga sekeluarga cedera apabila kereta dinaiki mereka ditembak secara tidak sengaja oleh anggota tentera yang bertugas mengawal pos keselamatan di Kampung Kotjan di sini, malam semalam.

Ketua Tentera Task Force Pattani Mejar Jeneral Chatuporn Kalampastu berkata insiden 7.30 malam itu berlaku akibat salah faham dalam kalangan kira-kira 10 anggota tentera yang bertugas.

“Pihak tentera akan bertanggungjawab atas insiden tembakan itu yang berpunca daripada salah faham. Kita akan beri keadilan kepada pihak terbabit,” katanya.

Beliau turut melawat kesemua mangsa yang dirawat di Hospital Pattani.

Ketika kejadian, terdapat enam penumpang dalam kereta itu dan mereka dalam perjalanan pulang ke Kampung Kerasak di sini dari wilayah Yala.

Ketua Polis Daerah Mayo Kolonel Sompraj Kannakanont berkata seorang daripada mereka, Che Yarra Awae, 57, cedera parah apabila sebutir peluru menembusi tubuhnya berhampiran dengan jantungnya. Bernama