RUU Uber, Grabcar lulus, tapi kenapa ada pemandu e-hailing mahu berhenti?

KUALA LUMPUR: Minggu lepas, Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang (RUU) mengesahkan perkhidmatan e-hailing seperti Uber dan Grabcar di seluruh negara.

Namun, memetik Sinar Harian pada Sabtu, ramai pula pemandu GrabCar dan Uber bercadang berhenti daripada perkhidmatan e-hailing.

Ini kerana mereka mendakwa, melalui RUU tersebut, kerajaan bakal mengawal selia dan mengenakan beberapa syarat yang perlu dipatuhi.

Antara syarat dikenakan terhadap pemandu GrabCar dan Uber ini ialah pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan kenderaan berkala, keperluan dilindungi insurans dan kad pemandu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri sebelum ini menegaskan, segala syarat dikenakan kepada pemandu teksi, turut terpakai kepada pemandu kenderaan e-hailing.

Pengendali perkhidmatan tersebut diberi tempoh sehingga setahun memenuhi syarat ditetapkan sebelum penguatkuasaan dilaksanakan.

Berbanding ketika ini, semua pemandu GrabCar dan Uber tidak dikenakan sebarang syarat kecuali hanya perlu mendaftar dengan syarikat melalui aplikasi disediakan.

RUU Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017 dibentang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri menerusi undian suara dengan lebih suara bersetuju.

Kedua-dua undang-undang itu membolehkan perkhidmatan e-hailing dilakukan secara sah dan turut beroperasi di Sarawak dan Sabah.

Di Sarawak dan Sabah perkhidmatan awam darat tidak tertakluk di bawah seliaan dan kawalan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD).

Beliau berkata, dengan kelulusan dua rang undang-undang itu, Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang mengawal selia perkhidmatan e-hailing secara sah.

Menurut Nancy, Ini kali pertama penyedia perkhidmatan e-hailing `dihalalkan’ untuk menjalankan operasi mereka.

Menurut beliau, Malaysia mencipta sejarah menjadi negara pertama ‘menghalalkan’ operasi e-hailing.

Terdapat pemandu GrabCar berpendapat, mereka perlu membeli insurans, menjalani pemeriksaan kenderaan atau pemeriksaan kesihatan, semuanya memerlukan kos yang banyak.

Justeru, ada pemandu berpendapat jika kerajaan meneruskan syarat tersebut, mungkin ramai pemandu GrabCar dan Uber berhenti selepas ini! – Sarawakvoice