Pengiran Bala puas hati kejutan pemain muda terhadap JDT biarpun tewas

KUCHING: Lanjutan kekalahan 0-2 kepada Johor Darul Takzim (JDT) malam tadi, pengendali Sarawak, Pengiran Bala mengakui kecewa dengan keputusan, tetapi gembira dengan peningkatan persembahan.

“Hendak disamakan kita dan JDT, ibarat langit dan bumi.

“Tetapi sekurang-kurangnya anak-anak muda yang kita dedahkan membuktikan keberanian, hingga menghadirkan cemas di pintu gol lawan.

Katanya, apa yang berlaku pada malam tadi membuktikan betapa Sarawak perlu percaya akan kebolehan pemain-pemainnya.

“Malam ini saya gembira dengan pernampilan sulung Jimmy (Raymond), Nor Azizi (Ramlee) dan Mohamad Hafis Saperi.

“Ia pendedahan yang berguna kepada mereka yang pertama kali bertemu JDT … dan mereka bermain dengan tenang, percaya akan diri,” tambahnya.

Pengiran mengakui dalam persembahan tersebut, banyak peluang tidak dimanfaatkan.

“Ini tidak boleh terus berlaku jika kita masih mahu kekal bersaing.

“Bagi barisan benteng pula, saya gembira dengan kesungguhan pemain muda seperti Jimmy dan Rodney Celvin Akwensivie yang jelas bekerja keras menahan serangan lawan.

“Komitmen mereka menyebabkan lawan agak sukar melaksanakan asakan bertubi, dan menghadirkan saingan yang agak baik kepada Mohammad Ghaddar dan S Kunanlan.

Pemain-pemain ini jelasnya, berjaya menutup ruang, seperti yang dirancang dan mengelakkan lawan terus maju membuat hantaran berbahaya di hadapan pintu gol.

“Ini petanda baik, dan dengan sedikit peluang lagi, mereka akan berubah matang.

“Sekurang-kurangnya apabila berlaku kecederaan kepada pasukan, kita ada pemain-pemain alternatif.

Sarawak akan bertandang ke Selangor bagi meneruskan baki perjuangan dalam Piala Malaysia.

“Mungkin kita akan menurunkan skuad yang sama … dan kita berusaha untuk terus mencipta kejutan dalam aksi seterusnya,” ikrarnya lagi.