SINGAPURA: Sejumlah 80,500 jirat Cina dan makam Muslim daripada keseluruhan tapak pusara terkenal seluas 318 hektar di Singapura, bakal dipindah menjelang suku keempat tahun depan.

Kerajaan Singapura kini melakukan kerja pembesaran Pangkalan Udara Tengah.

Bagi waris menurut laporan Malaysian Digest yang memetik Agensi pada Sabtu, ada di antara mereka mula mendapatkan khidmat agensi pengeksport tulang atau saki baki jasad untuk memindahkannya di luar Singapura.

Bagi waris Muslim pemindahan jasad dari makam di tanah Pusara Abadi, Choa Chu Kang kebanyakannya dimohon untuk pindahkan ke Johor.

Pengurus NUR bernama Amir yang berpengalaman mengendalikan pengurusan jenazah berkata, proses penggalian dan persiapan mengeksport tulang akan bermula.

Menurut beliau, selepas digali, saki baki jasad dibersihkan, kemudian dikafan lalu dibungkus di dalam kotak untuk dihantar melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Kotak tersebut diserahkan kepada pihak keluarga untuk meneruskan proses pengembumian semula di tempat yang dipilih waris.

Di tempat baharu, jika waris memilih Malaysia, waris perlu mendapat permit atau kebenaran ketua kampung atau pengerusi masjid sebelum urusan pengebumian semula berlangsung.

Amir yang dipetik bercakap dengan agensi berita MediaCorp berkata, terdapat alternatif lain dipilih waris iaitu mengambil tawaran Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) yang menjalankan kerja proses gali semula memakan kos khidmat seperti hampir S$800 (sekitar RM2,500).

Baru-baru ini, pihak berkuasa Singapura mengumumkan 35,000 kubur Islam di Pusara Abadi menjalani proses penggalian semula.

Proses tuntutan dan pendaftaran bermula September ini bagi 5,000 kubur di blok 19 dan 20 dengan penggalian semula bermula lewat tahun depan.

Baki 30,000 kubur di tempat lain menjalani proses penggalian setelah memenuhi tempoh pengebumian sekitar 15 tahun iaitu pada 2029.

Kerajaan Singapura menanggung semua kos pemindahan berkenaan, sementara kos tambahan lain ditanggung waris.

Bagi yang tidak memilih pemindahan jasad ke luar Singapura, jasad dikebumikan semula di kawasan kubur bertingkat yang ditetapkan mengikut model di Arab Saudi, ekoran masalah tanah di Singapura. – Sarawakvoice