Menang 2-0 tetapi Morais bengang padang Stadium Negeri buruk

KUCHING: Keadaan padang di Stadium Negeri menjadi punca pasukan Johor Darul Takzim (JDT) sukar beraksi cemerlang malam tadi, kata Ketua Jurulatihnya Ulisses Manuel Morais.

Katanya, kualiti padang yang agak rendah memberi impak kepada kedua-dua pasukan, hingga sukar beraksi pada kemampuan sebenar.

“Namun pada masa yang sama, saya kagum dengan semangat juang Sarawak yang kental.

“Biarpun berada dalam kedudukan yang agak terbawah dalam tangga liga, aksi malam tadi mencerminkan sebaliknya.

“Pasukan ini bermain dengan cukup baik, dan pemain mudanya berjaya memberi tentangan yang sengit,” kata jurulatih kelahiran Portugal itu.

Jelasnya, JDT terpaksa bekerja keras untuk menang malam tadi dan beliau gembira Mohammad Ghaddar dan Safiq Rahim dapat menterjemahkan peluang dengan jaringan gol.

“Yang penting adalah menang. Kami mensasarkan tiga mata dan kami berjaya memperolehnya.

“Objektif kami adalah suku akhir Piala Malaysia,” katanya yang mengeluarkan kedua-dua penjaring gol tersebut seusai tugas mereka melaksanakan jaringan.

JDT kini berada di kedudukan kedua carta Kumpulan D Piala Malaysia dengan 7 mata, di belakang Selangor dengan 10 mata.

Tiga mata penuh ini katanya, adalah satu kepuasan, kerana agak sengsara beraksi dalam keadaan padang yang kering.

Pada Selasa, JDT akan melayan Terengganu di Larkin manakala Sarawak akan bertandang ke Selangor untuk bertemu pendahulu saingan, Gergasi Merah. – Sarawakvoice