KUCHING: “Kami menang 30 minit. Ia permainan yang mempesonakan sebelum pemain hilang fokus dan tumpuan, kata Pengiran Bala semalam.

Beliau mengulas kekalahan 2-4 kepada Melaka United dalam aksi yang seharusnya membawa pulang tiga mata.

“Dalam 30 minit itu, para pemain beraksi seperti dirancang.

“Tetapi segala-galanya musnah dalam tempoh lapan minit apabila kita ditembusi tiga gol.

“Dan ia mengubah segala-galanya,” katanya lagi.

Pengiran menjelaskan, berdasarkan perancangan pemainan, selepas menjaringkan gol, pasukan akan bermain rapat dan bertahan, untuk mengekang asakan lawan.

“Akan tetapi kerana hilang fokus, dan Melaka United pula bermain ‘direct football’ berikutan saiz pemainnya, pemain saya kucar-kacir.

“Ketika inilah kita terasa sangat akan ketiadaan Demerson Bruno Costa dan Ronny Harun, yang mampu mengekang pemain sebegini.

Katanya, Hairol Mokhtar dan Mazewandi Zekeria telah berbuat sebaik mungkin tetapi kerana asakan berterusan, mereka gagal bertahan.

“Lawan tahu kelemahan kita,” tambahnya.

Sarawak mendahului dua gol menerusi Mateo Roskam pada minit ke-23 dan Tommy Mawat Bada pada minit ke-29, sebelum Melaka United membelasah empat gol menerusi Marko Simic (minit 31), Mohd 1 Roslan (minit 35), S. Surendran (minit 39) dan Felipe De Souza (minit 90).

Ditanya punca anak-anak buahnya lunyai, Pengiran mengakui para pemainnya bermasalah kerana mentaliti tidak kuat dan hilang ketahanan.

“Yang penting sekarang ialah kita hendaklah yakin akan diri sendiri. Yakin akan kemampuan pasukan dan yakin untuk membuat perubahan.

“Hanya itu dapat mengubat ‘sakit’ pasukan Sarawak sekarang,” keluhnya.

Katanya, kalau 30 minit pertama, pasukannya mampu menguasai permainan dan bermain seperti dirancang, tugas sekarang adalah untuk mengekalkan gaya permainan itu, sekurang-kurangnya dalam tempoh sejam. – Sarawakvoice