PERMATANG PAUH: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini mencabar kerajaan Pulau Pinang bagi mengemukakan fakta untuk membuktikan nasib kaum Melayu di negeri ini terbela.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata kerajaan negeri harus menjelaskan sejauh mana isu-isu yang dihadapi oleh orang Melayu di negeri ini dibela dan diselesaikan.

“Apa bentuk pertolongan yang diberikan, kalau betul, mereka boleh kemukakan bukti itu, pertolongan atas dasar apa, kita tidak bising lagi. Sebab kita banyak dengar bila orang Melayu buka gerai di tepi jalan akan dirobohkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP),” katanya selepas merasmikan Kongres Melayu Pulau Pinang di sini.

Beliau turut meminta kerajaan negeri membentangkan jumlah peruntukan dan fakta yang benar dalam pembinaan kuil-kuil dan gereja di negeri ini yang dilihat berat sebelah bagi mengelak salah faham dan ketegangan bagi semua kaum secara keseluruhannya.

“Kita nak tengok peratusan. DAP kena bagi fakta yang benar dan jika ia benar (peruntukan kuil-kuil dan gereja melebihi seperti yang diperuntukkan), kenapa tidak boleh? Kita cuma nak semua kaum dilayan secara adil,” katanya seperti dipetik umno online.

Ibrahim berkata Perkasa mahu mengadakan perbincangan secara terbuka dengan pentadbiran kerajaan negeri bagi menangani isu-isu berbangkit seperti pendidikan, perumahan, ekonomi dan agama.

“Saya mahu berjuang atas dasar kebenaran bukan sentimen sempit dan berharap kerajaan DAP Pulau Pinang juga sama dengan tunjukkan bukti, jangan bila kita mahu jumpa, mereka tutup pintu,” tegasnya.

Ibrahim juga menggesa ahlinya menyediakan fakta lengkap termasuk mendapatkan kajian dari universiti sebelum berbincang dengan kerajaan negeri.

“Janganlah kita membuat anggapan secara umum sesuatu isu itu tanpa menitikberatkan fakta dan kebenaran demi kepentingan politik semata-mata.

“Saya harap apabila kita utarakannya nanti, jangan cakap ini perkauman sebab kita tidak mahu jadi seperti kebanyakan pihak yang bergaduh tanpa objektif, kita mahu semua bangsa dilayan sama rata bagi menjamin keselamatan negara,” katanya lagi. – Sarawakvoice