Pengadil berwibawa, cekap dan adil mampu tingkatkan mutu sukan – Karim

KUCHING: Sarawak komited untuk melahirkan pengadil sukan yang berwibawa, cekap dan adil, kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurutnya, bermula dengan mutu pengadilan yang berkualiti, akan membantu meningkatkan mutu, malah prestasi sukan yang dimaksudkan.

“Pengadil merupakan orang yang cukup penting dalam setiap jenis sukan kerana setiap keputusannya boleh memimpin persembahan aksi sukan seterusnya,” katanya dalam ucapan Majlis Penutupan Program 1Belia 1Sukan di Kompleks Belia dan Sukan di sini petang semalam.

Teks ucapannya dibacakan Menteri Muda Belia dan Sukan, Snowdan Lawan.

Katanya lagi Program 1Belia dan 1Pengadil ini adalah penting, kerana setiap aktiviti sukan memerlukan pengadil.

“Tetapi ketika ini ramai yang memilih untuk menjadi atlet daripada menjadi pengadil, walhal ia boleh menjadi kerjaya yang menarik.

“Bagaimanapun, untuk menjadi pengadil yang mahir memerlukan seseorang itu memiliki pengetahuan mengenai undang-undang pengadilan,” katanya lagi.

Seramai 60 peserta menghadiri kursus selama tiga hari anjuran bersama Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara, Majlis Belia Malaysia dan Saberkas ini.

Ia meliputi sukan bola sepak, sepak takraw dan bola jaring, dengan kebanyakan peserta didatangkan dari daerah Serian, Sri Aman dan Kuching.

“Saya berharap kursus ini bukan sahaja meningkatkan mutu pengadilan, malah memberi peluang untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehan selain disiplin peserta.

“Sebagai seorang pengadil kita mestilah telus dan mempunyai integriti yang tinggi serta tidak bersikap pilih kasih dalam membuat sesuatu keputusan,” katanya lagi. – Sarawakvoice