Akhbar harian Singapura baru-baru ini menyatakan  undi Melayu penting dalam menentukan  kemenangan pada pilihan raya Malaysia pada masa akan datang.

Sebenarnya bukan undi Melayu sahaja penting, tetapi juga undi bumiputera di Sabah dan Sarawak. Analisis ini menjelaskan pola politik di Sabah berdasarkan populariti undi yang diperoleh dan jumlah kerusi yang dimenangi.

Pergolakan Politik Semasa di Sabah

Pilihan raya umum  (PRU) Ke-12 yang diadakan pada tahun 2008,  BN Sabah  menang besar di peringkat Parlimen apabila hanya tewas di Kota Kinabalu kepada DAP.  Jadi, BN Sabah memenangi 24 kerusi Parlimen.

Di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, BN Sabah juga menang besar apabila hanya tewas di kerusi Sri Tanjung, manakala 59 kerusi DUN BN telah diperoleh.

Namun, tidak lama kemudian politik Sabah dilanda gelora apabila  Parti Maju Sabah (SAPP) dan beberapa anggota Parlimen dan DUN menjadi pembangkang. Hal ini menjadikan dua kerusi Parlimen  dan  empat kerusi DUN SAPP beralih kepada pembangkang. Selebihnya dua  Parlimen lagi  beralih arah menjadi Bebas.

Kesannya, ketika itu tinggallah  20 Ahli Parlimen BN. Daripada 20 keahlian Parlimen, terdapat  12 ahli Parlimen Umno, tiga dari Parti Bersatu Sabah (PBS) dan  Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO).  Terdapat juga satu dari Parti Liberal Demoraktik (LDP), dan satu lagi Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Dari segi kekuatan DUN  pula, daripada 56 kerusi DUN Sabah, 31 kerusi dikuasai oleh UMNO,  manakala PBS menguasai  12 kerusi, UPKO enam kerusi, dua LDP, satu PBRS, tiga Gerakan, dan MCA satu.

Pembangkang sehingga sebelum PRU-13 menguasai empat kerusi  DUN, iaitu APP (tiga) dan DAP (satu).

BN Sabah  menguasai   22 kerusi   daripada  25 kerusi Parlimen.  Kota Kinabalu dan Sandakan dikuasai  DAP dan PKR di Penampang. Namun,  kerusi BN berkurang di Sabah selepas Shafie Apdal membuka parti baharu, Parti Warisan Sabah.

Analisis Kerusi Panas

Namun analisis pola pengundian di peringkat Parlimen Sabah  pula didapati berlakunya kemerosotan undi  sekurang-kurangnya 10 peratus. Situasi ini dapat dikesan di tujuh kawasan  bumiputera.

Selain Beaufort, parlimen  Kota Marudu, Keningau, Tenom dan Pesiangan boleh dianggap sebagai kerusi panas pada PRU akan datang.  

Hal ini kerana  kerusi-kerusi tersebut telah dimenangi oleh BN dengan kurang daripada 50 peratus undi. Banyak juga melibatkan kerusi lain dari segi penurunan undi. Namun untuk analisis ini difokuskan beberapa kerusi sahaja.

Parlimen ini belumlah lagi termasuk Parlimen Semporna selepas Shafie Apdal membentuk Parti Warisan Sabah yang memfokuskan  isu-isu tempatan Sabah

Penampang

Parlimen Penampang berjaya dirampas oleh PKR ketika itu. Namun Darell  Leiking menyertai parti Warisan sebagai Timbalan Presiden untuk mengukuhkan  kekuasaan politik di Penampang. Kerusi ini terdiri daripada Kadazan Dusun Murut (KDM) dan pengundi Cina.

Beaufort

Kerusi Parlimen Beaufort pula hampir dimenangi  oleh calon pembangkang, iaitu Lajim Ukin dengan hanya kalah 673 undi di tangan Azizah Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun. Lajim Ukin memperoleh  kira-kira 12,000  undi.  Sudah tentu suasana politik ini menjadi mimpi ngeri BN pada PRU akan datang.

Azizah kini merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Kota Marudu

Pada PRU lalu, Dr Maximus Ongkili yang  merupakan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau  hanya memperoleh majoriti 842 undi. Sedangkan  calon PKR Mahap memperoleh 14, 326 undi, manakala Maximus memperoleh 15,168 undi.

Maximus bernasib baik kerana berlakunya pertandingan empat penjuru. Ketika itu, calon Star Majamis Timbong memperoleh 2,228 undi dan Yuntau alias Kuntau Kolod (SAPP) hanya mendapat 444 undi.

Pertandingan empat penjurulah inilah yang memenangkan Maximus Ongkili.

Keningau

Joseph Pairin Kitingan juga dimenangkan hasil daripada pertandingan tiga penjuru.   Beliau memperoleh 15,818 undi manakala calon STAR Geoffrey Katingan memperoleh 11,900, manakala  calon PKR  Stephen Sandor pula memperoleh 7,825 undi.  Sekiranya, tidak ada pertandingan tiga penjuru ini, Presiden PBS ini akan tewas di tangan pembangkang.

Joseph Pairin Kitingan kini ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah.

Tenom

Sekiranya kerusi pembangkang yang terdiri daripada  PKR, STAR, SAPP dan KITA digabungkan  terdapat sejumlah 10, 523 undi diperoleh.  Sedangkan pemenang calon  kerusi Parlimen Tenom,  Raime Unggi dari UMNO hanya  mendapat 9,771 undi.

Pertembungan lima penjuru benar-benar menguntungkan BN Sabah pada ketika itu.

Pesiangan

Begitu juga Parlimen di Pesiangan. Pembangkang mempunyai jumlah undi yang banyak  sekiranya digabungkan, iaiitu 11,429 undi kesemuanya.

Namun  Joseph Kurup  yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri hanya memperoleh 9,467 undi.

Sekali lagi ketidakbersatuan pembangkang ketika itu  yang terdiri  daripada parti PKR, STAR dan Bebas berjaya memberikan kemenangan tipis di parlimen Pesiangan.

Rumusan

Terdapat beberapa kerusi Parlimen di Sabah yang boleh dikategorikan sebagai kerusi panas.  Terdapat faktor seperti penyandang sudah lama berkuasa, ketidakpuasan hati penduduk setempat akan isu-isu tempatan di kawasan mereka termasuk isu infrastruktur terus berkumandang.  

Terdapat beberapa isu lain di beberapa kawasan Parlimen yang lain yang kini agak panas suhu politiknya yang belum lagi dimasukkan.

Namun dapatkah Shafie Apdal yang cuba menyatukan pembangkang mengelakkan  pertembungan beberapa penjuru?  Sampai bilakah pembangkang di Sabah tewas dalam pengiraan angka untuk formula politik untuk menang besar di Sabah?

Sejauh manakah pula politik personaliti Shafie Apdal berjaya melakukan perubahan dalam landskap politik pembangkang di Sabah? Kini semua tumpuan terletak pada politik personaliti Shafie Apdal. – Sarawakvoice